Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Advertorial

Migrasi ke IPv6 demi kedaulatan negara

- Diterbit 28 Jun 2024 3:00 PM MYT

KEDAULATAN negara tidak sekadar merangkumi sempadan angkasa, darat dan maritim semata-mata bahkan ia kini mencakupi alamat protokol Internet (IP) yang berisiko diceroboh.

Hal tersebut sekali gus mampu menjejaskan kedaulatan, keselamatan, pembangunan ekonomi serta kualiti perkhidmatan Internet yang tersedia untuk rakyat sekiranya sesebuah negara terpaksa bergantung kepada entiti luar bagi menyediakan sumber Internet.

Ahli Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Derek Fernandez berkata bagi mengelakkan risiko tersebut negara boleh mengatasinya dengan mendaftar Internet nasionalnya sendiri untuk memerangi ancaman keselamatan siber dengan lebih baik serta Versi Protokol Internet (IPv).

Katanya, pada masa kini negara sedang dalam proses migrasi daripada sistem IPv4 kepada IPv6 untuk peraturan dan protokol yang lebih ketat.

IPv6 ialah protokol yang memberikan alamat IP unik untuk setiap pengguna dan membolehkan lebih banyak peranti disambungkan, serta ruang alamat yang lebih besar untuk keselamatan multimedia, prestasi dan keupayaan autokonfigurasi yang lebih baik.

“Kedaulatan negara bergantung pada keupayaannya untuk mengawal IPv mereka sendiri dan alamat yang terdapat di bawah sistem, kerana data adalah sebahagian daripada aset negara.

“Pada masa ini, kami dibenarkan untuk mempunyai kawalan kami sendiri ke atas data ini seperti yang diberi kuasa oleh Akta Komunikasi dan Multimedia 1985. Bagaimanapun, kami boleh mengurus dan mengawal data dan aset multimedia kami dengan lebih baik, jika kami mempunyai pendaftaran Internet nasional sendiri.

“Buat masa ini juga, kami perlu memohon kepada badan pentadbir antarabangsa apabila ia melibatkan alamat IP selain telah memohon untuk mempunyai pendaftaran sendiri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan perasmian pada persidangan Strategi Migrasi IPv6 Asia Pasifik untuk Pengawal Selia dan Pihak Berkuasa baru-baru ini.

Beliau turut menzahirkan kepercayaan bahawa setiap negara yang berdaulat harus mempunyai alamat IP mereka sendiri bagi melindungi aset digital yang kian berkembang di serata dunia.

Dalam ucapannya, Derek menekankan kepentingan bagi sesebuah negara untuk mempunyai badan yang mentadbir sumber digitalnya sendiri berikutan ia penting untuk keselamatan negara dan pembangunan ekonomi.

“Kawalan alamat untuk penghantaran, komunikasi, maklumat dan perkhidmatan data menggunakan alamat IP tertentu di negara sendiri mestilah menjadi milik anda.

“Data ini tidak boleh dimiliki oleh mana-mana negara lain kecuali negara di mana alamat tersebut berdaftar

“Saya percaya bahawa kerajaan melalui MCMC telah memulakan langkah untuk mewujudkan pendaftaran Internet nasional dan berharap negara lain akan mengikutinya,” katanya.

BAKAL TUKAR SISTEM

derek, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penyalahgunaan Dalam Talian dan Keselamatan Maklumat MCMC berkata persidangan dua hari itu mengumpulkan pakar-pakar industri dari rantau Asia Pasifik dengan mengadakan perbincangan yang bermanfaat mengenai konsep IPv6 dan mencari kaedah agar negara-negara lain boleh menerima pakai protokol Internet.

Kata beliau, pada masa ini Malaysia adalah antara tiga negara teratas di dunia yang sedang menunggu untuk menukar sepenuhnya sistem kepada IPv6.

Terdahulu, Setiausaha Agung Asia Pacific Telecommunication, Masanori Kondo dalam ucapan alu-aluan menerusi dalam talian menyeru semua pihak berkepentingan untuk menyokong sebarang usaha dalam memastikan keselamatan Internet dipertingkatkan demi kemakmuran bersama.

Bengkel selama dua hari itu melibatkan penyertaan hampir 200 peserta dari 50 buah negara termasuk Thailand, Luxembourg, Indonesia, Laos, Jepun, Perancis, China dan lain-lain. Ia turut diadakan secara atas dalam talian.

Hadir sama, Pengerusi Global IPv6 Forum dari Luxembourg, Dr Latif Ladid dan Pengerusi APAC IPv6 Council, IPv6 Forum Malaysia, Profesor Emeritus Dr Sureswaran Ramadass.

Disebabkan itu, kesan ke atas negara membangun dan ISP baharu amat terjejas kerana mereka bergelut untuk memperoleh alamat IPv4 yang diperlukan untuk mengembangkan perkhidmatan Internet mereka.

IPv4 turut berisiko terdedah kepada penipuan berikutan kekurangannya yang telah menimbulkan pasaran sekunder di mana alamat IPv4 dibeli dan dijual selalunya pada harga yang tinggi. Pasaran ini kadangkala boleh membawa kepada aktiviti penipuan, seperti rampasan blok alamat IP atau penjualan alamat yang disalahgunakan sebelum ini.

Insiden rampasan alamat IP, di mana entiti berniat jahat mengawal sekatan alamat IP yang tidak digunakan atau kurang digunakan telah menjadi lebih berleluasa. Ini menimbulkan risiko kepada keselamatan rangkaian dan integriti perkhidmatan.

Selain itu, IPv4 yang tersedia turut berdepan dengan kerumitan pengurusan rangkaian. Untuk mengatasi kekurangan IPv4, banyak rangkaian menggunakan NAT untuk berkongsi satu alamat IPv4 awam antara berbilang peranti. Walaupun ini memanjangkan kebolehgunaan alamat IPv4, ia boleh merumitkan pengurusan rangkaian dan merendahkan prestasi sesetengah aplikasi.

Cabaran untuk rangkaian IPv4 turut berdepan masalah ekoran lebih banyak perkhidmatan dan kandungan beralih ke IPv6, rangkaian IPv4 sahaja mungkin menghadapi isu ketersambungan, memberi kesan kepada pengalaman pengguna dan akses kepada perkhidmatan Internet moden.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas