Berita

MIAG 2024 jadi kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik Paris – MS

- Diterbit 31 Januari 2024 11:40 AM MYT

KEJOHANAN Renang Kumpulan Umur Jemputan Malaysia (MIAG) ke-59 2024 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, dari 25 hingga 28 April akan menjadi kejohanan kelayakan ke Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Setiausaha Agung Persekutuan Renang Malaysia (MS), Andy Low berkata World Aquatics telah meluluskan Kejohanan Renang MIAG berikutnya sebagai aksi kelayakan Paris 2024, pada Disember lepas.

“Selain kelayakan ke Paris 2024, ini adalah kejohanan kelayakan untuk pertandingan Kumpulan Umur SEA ke-46 yang akan diadakan di Thailand, Disember ini.

“Acara itu juga akan menjadi aksi kelayakan untuk mana-mana pertandingan antarabangsa lain yang ditentukan oleh MS,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat ini tiada seorang pun perenang Malaysia berjaya melangkah ke pertandingan pelbagai acara sukan terbesar itu.

Sukan Olimpik 2024 dijadualkan bermula dari 26 Julai hingga 11 Ogos ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas