Oleh ZULKIFLI SULONG
SELEPAS kerajaan menyusun balik subsidi diesel, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengumumkan subsidi petrol RON 95 pula akan disusun mulai pertengahan tahun depan.
Yang paling menarik adalah pengumuman PMX bahawa 85 peratus (%) rakyat negara ini akan terus menikmati subsidi RON 95 ini. Hanya 15% rakyat Malaysia yang mempunyai pendapatan paling atas tidak akan menikmati subsidi ini.
Ekoran itu, pelbagai tafsiran tersebar tentang siapakah sebenarnya golongan 15% teratas ini yang dinamakan sebagai T15 yang tidak akan menerima subsidi RON 95.
Menurut PMX, kerajaan masih mengkaji kuantum kumpulan isi rumah T15 bagi memastikan tiada pihak tertinggal mahupun terbeban dengan pelaksanaan penyasaran subsidi.
Anwar berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan antara Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebelum ia diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet.
“Isu tentang kedudukan T15, maknanya kita lepaskan tanggungjawab membayar ini kepada B40 serta M40 dan apabila dikaji, ada rangkaian T20 peringkat bawah mungkin pendapatannya sedikit rendah, maka dinaikkan.
“Ini bukan perkara baru sebab dalam penyasaran subsidi diesel digunakan prinsip sama T15, apa kuantumnya itu sedang dikaji kerana kita rasa, dikatakan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) RM13,000 itu mungkin terlalu rendah.
“Maka rencana sekarang dibincangkan jabatan berkaitan Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan KPDN ialah untuk menaikkan sedikit supaya tidak bebankan pendapatan seisi keluarga itu dan tidak terikat dengan yang ada sekarang.
“Kemudian dibangkitkan kecelaruan tafsiran T15, tak benar, saya dengar ucapan Menteri Ekonomi, kita kata DOSM menetapkan RM13,000 (tetapi) kita fikir agak rendah itu (perkara ini) sedang dibincangkan jadi tiada percanggahan sekali dan dirujuk kepada Mesyuarat Jemaah Menteri mengapa kita tetapkan T15 itu ditingkatkan jumlah pendapatannya,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, minggu lalu.
Sebelum ini negara mempunyai B40, M40 dan T20. B40 adalah golongan 40% bawah dari segi pendapatannya, M40 pula adalah 40% pertengahan manakala T20 pula 20% dari rakyat negara yang dikira golongan paling tinggi pendapatannya.
Kini untuk pelaksanaan subsidi, kerajaan mengecilkan lagi golongan teratas ini dengan memilih 15% sahaja. Ini bermakna lebih ramai rakyat akan mendapat subsidi kerajaan dengan pengecilan saiz ini.
Sebenarnya prinsip yang digunakan oleh kerajaan dalam pelaksanaan pemberian subsidi ini bertepatan sekali dengan prinsip Islam.
Dalam Islam ada zakat. Orang kaya diwajibkan mengeluarkan zakat manakala orang miskin pula diberikan zakat ini. Islam juga menetapkan siapa golongan kaya yang kena mengeluarkan zakat dan golongan miskin yang boleh menerima zakat. Jumlah berapa yang perlu dizakatkan pula berbeza mengikut ijtihad pemerintah semasa.
Begitulah dengan subsidi kerajaan sekarang. Golongan miskin dibantu dengan subsidi manakala golongan yang berada dan mampu tidak diberikan subsidi atau dibantu. Mereka membeli dengan harga sebenar barangan atau perkhidmatan berkenaan.
Ia turut berlaku kepada kos menunaikan haji yang dikenakan oleh Tabung Haji, satu tabung yang dikuasai kerajaan. Golongan bawahan diberikan subsidi oleh kerajaan bagi membolehkan mereka juga menunaikan haji dengan sebahagian kos ditanggung oleh kerajaan melalui Tabung Haji ini.
Namun orang yang berada dan mampu, bolehlah menunaikan haji dengan kosnya yang sebenar kerana itulah yang dituntut oleh Islam iaitu tunaikan haji sekiranya kita mampu. Golongan yang lebih mampu pula boleh menunaikan haji melalui pakej-pakej yang disediakan kerajaan dan swasta.
Penduduk Malaysia pada suku tahun pertama 2024 (ST1 2024) dianggarkan berjumlah 34 juta, meningkat 2.3 peratus berbanding suku tahun pertama 2023 (ST1 2023) iaitu seramai 33.2 juta penduduk, menurut laporan perangkaan demografi bagi ST1 2024 yang dikeluarkan oleh DOSM.
Jumlah penduduk terbabit merangkumi 30.6 juta (90 peratus) warganegara dan 3.4 juta (10 peratus) bukan warganegara.
Ini bermakna, 15% daripada 30.6 juta penduduk tempatan itu iaitu kira-kira 4.59 juta orang termasuk dalam kategori ini yang tidak akan mendapat subsidi kerajaan untuk RON 95 ini.
Sebenarnya, dari segi amalan sekarang, kebanyakan golongan T15 ini tidak menggunakan RON 95 kerana kebanyakan mereka menggunakan petrol yang lebih berkualiti iaitu RON 97 untuk kenderaan mewah mereka.
Jadi, sebenarnya lebih kecil jumlah penduduk negara ini yang terkesan dengan dasar penyasaran subsidi yang akan dilaksanakan kerajaan ini, kerana mereka tidak pun menggunakan RON 95.
Ini sekadar pandangan penulis yang menyambut baik dasar baharu kerajaan ini.