JABATAN Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan hujan berterusan di Sarawak, timur Sabah dan selatan Semenanjung sehingga Selasa depan
Ketua Pengarah (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan angin timuran dijangka berlaku.
Katanya, susulan itu ia boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan-kawasan terbabit.
“Selain itu, angin kencang dan laut bergelora dijangka berlaku di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.
“Sehubungan itu, MetMalaysia telah mengeluarkan Amaran Hujan Berterusan tahap waspada di Sarawak yang berkuatkuasa sehingga esok,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.
Tambah Helmi, pada masa yang sama, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam di negeri-negeri lain.
“Orang awam adalah dinasihatkan untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi MetMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat yang terkini dan sahih,” ujarnya. – WILAYAHKU