Berita

MET Malaysia diarah kaji semula SOP amaran cuaca

GAMBAR hiasan.
- Diterbit 26 September 2024 11:25 AM MYT

JABATAN Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) diarahkan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) penyediaan dan penyebaran maklumat, nasihat dan amaran cuaca.

Ini supaya ia dapat dikeluarkan dengan lebih kerap apabila cuaca dijangka menjadi ekstrem dan melampau.

Arahan demikian dikeluarkan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad susulan laporan media menyatakan MET Malaysia tidak mengeluarkan amaran cuaca disebabkan ramalan yang telah dikeluarkan lima hari terdahulu masih lagi efektif.

Menurut beliau, pihak MET Malaysia juga telah diarahkan untuk menambah baik aspek komunikasi dalam penyebaran maklumat dan amaran cuaca yang lebih efektif.

“Ini bagi memastikan orang awam lebih cakna terhadap keadaan cuaca semasa dan sekali gus dapat mengelakkan kejadian yang tidak diingini,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau turut mengambil maklum kejadian ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini
yang mengakibatkan banyak kes pokok tumbang, kejadian banjir dan kemusnahan harta orang awam akibat ribut terutamanya di kawasan utara negara.

Menurutnya, fasa peralihan monsunakan berterusan sehingga awal November ini dan ia menandakan berakhirnya Monsun Barat Daya yang telah bermula sejak 17 Mei lalu.

“Semasa fasa peralihan monsun, rantau negara akan menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah.

“Situasi ini boleh menggalakkan kejadian ribut petir yang lazimnya membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat, terutamanya pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta barat dan tengah Sarawak,” katanya.

Nik Nazmi memberitahu, keadaan cuaca sebegini berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.

Katanya, orang ramai dinasihatkan untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini dan sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan MET Malaysia melalui laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan media sosial rasmi Jabatan.

Jelas beliau, orang ramai juga boleh menghubungi Hotline Jabatan 1-300-22-1638 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas