MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan isu insiden pokok tumbang yang terjadi di pusat bandar Kuala Lumpur baru-baru ini telah dibawa ke mesyuarat Kabinet.
“Isu tersebut juga telah dibawa ke mesyuarat Kabinet baru-baru ini,” ujar beliau ringkas kepada media selepas menghadiri Taklimat Tadahan Banjir Kampung Bohol di Mayor’s Courtyard, Biro Pelancongan Kuala Lumpur.
Selain itu Zaliha berkata pelaksanaan
pemantauan terhadap pokok-pokok berisiko di sekitar ibu kota akan melibatkan kepakaran Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM).
Menurut Zaliha, ia sebagai langkah penyelidikan terperinci bagi mengelakkan insiden pokok tumbang berulang.
Tambahnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan pasukan petugas khas (task force) bagi meneliti dan menilai secara terperinci keutuhan pokok-pokok berisiko di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
“Kita juga akan adakan satu tindakan segera jangka pendek dan jangka panjang. Jangka pendeknya adalah saya meminta DBKL mengadakan pasukan petugas khas (task force) bagi meneliti dan menilai secara terperinci keutuhan pokok-pokok berisiko di sekitar bandar raya Kuala Lumpur.
“Dari sudut jangka panjang pula, penelitian dan pemantauan hendaklah dikenalpasti melalui beberapa aspek merangkumi pengenalpastian pokok-pokok berisiko, jarak pokok yang ditanam serta keluasan tanah.
“Kita lihat secara terperinci dan kita panggil semua pemegang taruh termasuklahbadan bukan kerajaan (NGO) dan arborist.
“Kita juga mahu melihat bagaimana pelaksanaan yang diamalkan oleh negara-negara lain kerana saya dapati mereka mempunyai sistem penjagaan pokok yang lebih sistematik,” jelasnya.
Zaliha berkata, pemantauan terhadap pokok-pokok berisiko di ibu kota telah pun dilaksanakan sejak tahun 2019 dan ia dilakukan pada setiap dua tahun dengan melibatkan pokok-pokok yang berusia 30 tahun ke atas.
“Kalau kita tengok keadaan sekarang dengan perubahan cuaca yang tidak menentu, ia juga menjadi faktor namun ada yang menyebut jangan salahkan cuaca. Justeru itu, kita akan kerapkan pemantauan dan sebagainya,” katanya.
Sebelum ini, Media melaporkan, Zaliha telah mengarahkan DBKL mengambil tindakan segera menebang pokok-pokok berisiko tinggi di sekitar ibu kota serta meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menambah baik Pelan Pengurusan Pokok Rendang dan menyediakan garis panduan baharu berkaitan pokok berusia atau berisiko tinggi yang dijangka siap pada Julai ini. – WILAYAHKU