MERCY Muslim Malaysia (Mercy) dan Persatuan Inspirasi Mualaf (PIM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) sebagai usaha meningkatkan jumlah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) untuk membantu golongan mualaf, asnaf, dan fakir di seluruh negara.
Pengerusi Mercy, Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin, dalam sidang medianya selepas majlis tersebut menyatakan bahawa kolaborasi ini bertujuan merangka pelan jangka panjang di antara kedua-dua pihak.

Bagaimana pun fokus segera adalah kepada persediaan menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba.
“MoU ini mengukuhkan lagi kerjasama antara Mercy dan PIM, terutama dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadan.
“Aktiviti ini telah dijadualkan sejak tahun lalu, tetapi kini dikemas kini untuk mencapai objektif yang lebih menyeluruh.
“Bagi pihak Mercy, kami telah menjalankan program menyumbang kepada golongan memerlukan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
” Antara inisiatif termasuk pemberian keperluan makanan asas seperti beras, minyak masak, tepung, dan gula melalui program bakul makanan.
“Tahun ini, kerjasama dengan PIM akan membawa kelainan dengan tujuan yang sama, iaitu menyantuni golongan memerlukan sepanjang bulan yang mulia ini.
“Mercy akan fokus kepada promosi dan kerjasama dengan agensi pemasaran untuk memperkenalkan laman khas (landing page) bagi menggalakkan orang ramai menyumbang,” katanya.
Tambah beliau, semua sumbangan yang diterima melalui aplikasi khas ini akan diaudit dengan teliti dan disalurkan terus ke akaun rasmi PIM.
“Sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO), Mercy komited terhadap ketelusan dalam usaha kebajikan. Sumbangan atas talian ini akan memudahkan orang ramai menyumbang dana yang seterusnya akan diserahkan kepada PIM bagi melaksanakan program dan aktiviti yang telah dirancang,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi PIM, Muhammad Roger Arnold memaklumkan, MoU ini adalah yang pertama dijalin dengan NGO lain sejak sembilan tahun PIM beroperasi.
“Dalam tempoh tersebut, PIM telah menjalankan kerja-kerja dakwah, pembangunan, kebajikan, dan bimbingan kepada mualaf dan asnaf di seluruh negara.
“Setakat ini, kami telah menyantuni lebih 8,000 asnaf dan menyaksikan lebih 500 individu memeluk Islam melalui bimbingan kami.
“Misi PIM adalah membantu mualaf, terutama yang tergolong dalam kalangan asnaf dan fakir menjalani kehidupan dengan lebih bermakna meskipun menghadapi pelbagai cabaran.
“Bulan Ramadan adalah waktu istimewa untuk mendekati mereka semula dan memberikan bimbingan yang lebih mendalam mengenai Islam,” katanya.
Tambahnya, PIM menyasarkan 1,000 mualaf dan asnaf fakir untuk menyertai program berbuka puasa bersama tahun malah terbuka juga kepada pelajar tahfiz dan muslim yang berdekatan untuk bersama-sama.
“Program ini akan bermula pada tengahari dengan tazkirah, tadarus berjemaah, berbuka puasa dan diakhiri dengan solat tarawih.
“Kami berharap melalui program ini, mualaf akan lebih memahami dan mendalami ajaran Islam termasuk mempelajari bacaan al-Quran dengan mahraj yang betul. Paling penting faham erti beriman kepada Allah swt dan istiqomah.
“Melalui kolaborasi bersama Mercy, PIM turut berharap dapat melibatkan lebih ramai penyumbang dalam menyokong usaha kebajikan ini.
“Tahun ini, kami mensasarkan untuk menyediakan 3,000 hingga 5,000 bakul Ramadan. Program khas ini dikenali sebagai Inspirasi Ukhwah Ramadan akan membolehkan penerima memilih sendiri makanan seperti di bazar,” tambahnya.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh menghubungi– Hadi- 0172248222. – WILAYAHKU