MERCY Muslim Malaysia (Mercy Muslim) memperkenalkan perkhidmatan dengan menawarkan peluang kepada orang ramai bersama-sama menjalankan ibadah korban dan menjayakan tanggungjawab sosial apabila melancarkan Mercy Qurban dan Mercy Food Bank di Bangi, Selangor, baru-baru ini.
Pengerusinya Datuk Seri Muhamad Khanafi Husin berkata, Mercy Muslim adalah badan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun lepas bertujuan membantu golongan asnaf melalui sosial perniagaan.
“Apabila menyebut tentang NGO, kebanyakan lebih kepada memohon bantuan orang ramai untuk menyalurkan sumbangan dan sesetengah masyarakat kurang selesa dengan tindakan tersebut.
“Justeru kita ubah model Mercy Muslim dengan menawarkan sosial perniagaan dan keuntungannya akan kita salurkan kepada golongan asnaf.
“NGO ini sepenuhnya akan menggunakan kaedah digital atau pemasaran dalam talian dan dimulakan dengan menyasarkan sembelihan korban untuk asnaf Muslim di Kemboja dan Mekah. Bagi tujuan pelaksanaan tersebut, Mercy Muslim bekerjasama dengan Gerak Amal Islami (GAMIL),” ujarnya.

Khanafi menambah, Kemboja dipilih kerana terdapat kumpulan asnaf yang paling berkelayakan di sana.
“Bagi tujuan tersebut sebanyak 100 ekor lembu disediakan dengan harga paling munasabah iaitu RM430 satu bahagian. Manakala sebanyak 150 kambing biri-biri juga ditawarkan dengan harga RM480 seekor bagi tujuan korban di Mekah.
“Diharap peluang tersebut akan membantu lebih ramai individu menyertai ibadah korban mengikut kemampuan kewangan masing-masing.
“Di samping itu kita mahu berkongsi rezeki dengan fakir miskin dan golongan asnaf di sana yang ada di antara mereka tidak mampu merasai makan daging walaupun setahun sekali. Kami akan berkongsi gambar haiwan korban dan juga menyerahkan sijil kepada mereka yang bersama-sama menjalani ibadah tersebut.
“Projek kedua bersama GAMIL, selepas raya haji orang ramai berpeluang untuk bersama-sama dalam program menyediakan telaga di sana.
“Jumlah telaga wakaf akan diberitahu kelak dan orang ramai boleh berkongsi slot yang disediakan. Projek ini akan berlangsung sepanjang tahun dan akan dikemas kini dari masa ke semasa melalui media sosial Mercy Muslim,” ujarnya.
Katanya, selain ibadah korban, NGO itu juga telah merencana beberapa projek amal yang lain. Antaranya mengajak orang ramai menyalurkan sumbangan kepada tabung makanan kepada pelajar di beberapa Institusi Pengajian Awam (IPTA) terpilih di sekitar Lembah Klang bagi meringankan tanggungan golongan yang tidak berkemampuan.
“Mercy Food Bank akan bekerjasama dengan penerima manfaat iaitu pihak IPTA dengan menyediakan lapan menu. Makanan ini akan disediakan oleh pengilang yang mempunyai tauliah, dijamin kebersihan dan mempunyai sijil halal.
“Projek seterusnya menyediakan rumah singgahan atau transit kepada murid sekolah rendah sementara menghadiri kelas pada sebelah petang atau menunggu diambil oleh ibu bapa peluang ke rumah masing-masing.
“Buat permulaan Mercy Muslim akan bekerjasama dengan rumah singgahan berhampiran sekolah yang sedia ada dan menyediakan kemudahan dan aktiviti. Latar belakang murid tersebut akan disaring bagi menentukan kelayakan menerima bantuan pembiayaan terutama di kalangan kelurga miskin dan tidak berkemampuan,” tambahnya lagi.
Mercy Muslim Malaysia boleh dihubungi di talian 011 57735851 atau akaun media sosial, FB, IG dan laman web – mercymuslimmalaysia. – WILAYAHKU