Berita

Mercedes-Benz, MAG umum kerjasama strategik

- Diterbit 22 Januari 2025 11:59 AM MYT

MALAYSIA Aviation Group (MAG), syarikat induk Malaysia Airlines, dan Mercedes-Benz Malaysia (MBM) mengumumkan kerjasama strategik bagi meningkatkan pengalaman pelanggan elit mereka.

Menurut MAG, melalui kerjasama itu, penumpang yang layak boleh menikmati perkhidmatan pemindahan terminal persendirian menggunakan kenderaan mewah termasuk model Mercedes-Benz S 580 e Plug-in Hybrid dan Mercedes-Bens EQS 500 4MATIC, bermula 16 Januari lalu.

Jelasnya, perkhidmatan 24 jam itu memudahkan transit bagi penumpang yang layan antara Terminal 1 KLIA dan Bangunan Satelit.

“Sebagai sebahagian daripada kerjasama tersebut, ahli Enrich Platinum dan Gold Malaysia Airlines akan menikmati #MyMercedesRewards iaitu ganjaran khas untuk mereka yang membeli model Mercedes-Benz terpilih, termasuk model elektrik sepenuhnya (all-electric) dan hibrid plug-in.

“Di samping itu, ahli yang membeli kereta Mercedes-Benz baharu tahun ini akan berpeluang untuk menyertai perjalanan eksklusif ke Jerman, menawarkan pengalaman unik ke dunia Mercedes-Benz,” katanya dalam kenyataan.

MAG menambah, ahli Enrich Platinum dan Gold Malaysia Airlines juga boleh menikmati akses eksklusif ke acara Mercedes-Benz Malaysia.

Malah katanya, pelanggan Mercedes-Benz turut berpeluang menyertai acara eksklusif Enrich Malaysia Airlines.

“Selain itu bermula 1 Mac ini, pelanggan yang membeli kenderaan Mercedes-Benz akan menikmati akses sepanjang tahun ke perkhidmatan pemindahan terminal persendirian Malaysia Airlines, memastikan perjalanan yang mewah dan mudah semasa terbang dengan Malaysia Airlines,” katanya.

Terdahulu Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia, Amanda Zhang berkata, misi syarikat adalah untuk mencipta pengalaman luar biasa yang digelar Mercedes Moments.

“Kerjasama dengan MAG membolehkan kami meningkatkan pengalaman perjalanan mewah untuk pelanggan kami dan ahli Enrich, menetapkan piawaian baharu dalam pengalaman peribadi yang eksklusif,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Kesetiaan & Perjalanan dari MAG, Philip See pula berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan pengalaman perjalanan kepada pelanggan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas