Berita

Menu berasas bunga di Pesta Orkid 2023

- Diterbit 17 Disember 2023 5:07 PM MYT

BERSEMPENA Pesta Orkid Putrajaya 2023, tiga jenis menu berasaskan bunga dipersembahkan kepada pengunjung pada program demo memasak.

Bertempat di Pentas Utama, Taman Botani, program tersebut diketuai Chef Masakan Melayu Hotel Pulse Grande Putrajaya, Hasnaerdawaty Md Hanapi bersama PUSPANITA Perbadanan Putrajaya.

Menurut Hasnaerdawaty, memandangkan ia bersempena pesta bunga maka dia turut mengetengahkan menu berasaskan bunga yang boleh dimakan antaranya nasi minyak bunga lemuni, ayam berlada bunga kantan dan acar diraja bunga kunyit.

“Keistimewaannya bunga-bunga yang saya gunakan mempunyai pelbagai khasiat sebagai contoh bunga lemuni ramai yang tak kenal tapi ia baik untuk anti radang, anti kanser, anti oksida dan banyak lagi,” jelasnya.

Mengulas lanjut, dia turut berbesar hati atas kesudian pihak PUSPANITA untuk bekerjasama dengannya untuk kali ketiga.

“Terima kasih PUSPANITA Perbadanan Putrajaya kerana sentiasa memberi sokongan kepada saya. Insya-Allah kami merancang untuk bekerjasama sekali lagi dalam Program Hari Terbuka Perbadanan Putrajaya pada Februari 2024,” ujarnya.

Berkongsi perancangan seterusnya, Chef Hasna berkata pihaknya juga dalam perbincangan untuk berkolaborasi bersama isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah bersempena bulan Ramadan akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas