PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim percaya bahawa elemen rasuah yang berkaitan dengan sindiket pelacuran di ibu negara wujud sejak sekian lama menjadikan isu berkenaan sukar ditangani
Katanya, isu berkenaan ditangani oleh Menteri yang berkaitan dan ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak berikutan perkara itu telah berlanjutan.
“Menteri Wilayah (Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa) memang ditugaskan bersama Datuk Bandar (Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Haji Kamarulzaman Bin Mat Salleh) kerana hal ini dibiarkan sekian lama…termasuk semasa kerajaan dahulu itu kena faham.
“Saya percaya jika ada sarang pelacuran, sarang perjudian haram, semua ini mesti ada elemen sogokan. Saya percaya SPRM sedang pergi ke arah itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas memberikan ucapan dalam Forum Global Madani 2024, di ibu negara, hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan lubuk kegiatan pelacuran tertua sekitar Pudu, Kuala Lumpur termasuk pelacur yang dilihat mencari pelanggan di sebuah medan selera di Jalan Gelang dan Jalan Kalong diserbu. – WILAYAHKU