Berita

Menteri Luar Negeri ketuai misi kemanusiaan ke Myanmar

- Diterbit 4 April 2025 10:00 PM MYT

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, selaku Pengerusi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), akan mengetuai misi kemanusiaan ke Nay Pyi Taw, Myanmar, esok.

Menurut Wisma Putra, misi tersebut merupakan manifestasi solidariti serantau dan sokongan kepada rakyat Myanmar, sebagaimana dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Kecemasan Menteri-Menteri Luar ASEAN berhubung gempa bumi di Myanmar dan Thailand yang dipengerusikan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 30 Mac lalu secara sidang video.

Jelasnya, Mohamad akan disertai rakan sejawat beliau dari Thailand, Maris
Sangiampongsa, sekali gus memperkukuh semangat kerjasama rapat ASEAN dalam tindak balas kemanusiaan.

“Thailand turut terjejas akibat bencana tersebut.

“Semasa berada di Nay Pyi Taw, kedua-dua Menteri Luar dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Pentadbiran Negara (SAC), Jeneral Kanan Min Aung Hlaing serta Menteri Luar
Negeri, U Than Shwe.

“Menteri-Menteri Luar Negeri Malaysia dan Thailand turut akan menerima taklimat daripada Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan Pengurusan Bencana (AHA Centre) mengenai operasi bantuan dan kemanusiaan yang sedang dilaksanakan,” jelas Wisma Putra.

Wisma Putra menambah, lawatan ini menzahirkan komitmen dan kepimpinan proaktif Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Sepanjang lawatan beliau, Menteri Luar Negeri dijangka menyampaikan sokongan
tidak berbelah bahagi ASEAN kepada Myanmar dalam usaha pemulihan pasca gempa bumi.

“Beliau juga akan menyuarakan keperluan untuk meneruskan dan memperluas akses penghantaran bantuan kemanusiaan yang selamat, berterusan dan tanpa halangan ke kawasan yang terjejas,” katanya.

Menurut Wisma Putra, Menteri Luar Negeri turut akan mengetengahkan usaha tindak balas bencana yang dikoordinasikan ASEAN serta sumbangan Malaysia setakat ini, termasuk penugasan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) dan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Bersempena dengan lawatan ini katanya, kumpulan kedua bantuan kemanusiaan Malaysia akan tiba di Nay Pyi Taw.

Bantuan ini jelasnya, diselaraskan melalui AHA Centre dan dihantar menggunakan pesawat A400 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebagai usaha kolektif bantuan ASEAN. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas