MENTERI Luar Negeri Denmark, Lars Lokke Rasmussen akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia bermula hari ini sehingga esok.
Menurut Wisma Putra, ia merupakan lawatan pertama Rasmussen ke negara ini sejak dilantik Menteri Luar Negeri pada Disember 2022.
Katanya, pemimpin itu akan diiringi pegawai-pegawai kanan dari Kementerian Luar Negeri Denmark.
“Beliau dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, esok, di ibu negara.
“Selain membincangkan tahap hubungan dua hala Malaysia-Denmark, mereka akan membincangkan peluang-peluang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang terutamanya peralihan hijau, ekonomi kitaran dan kerjasama kesihatan,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Wisma Putra menambah, mereka juga akan mengambil peluang untuk bertukar-tukar pandangan mengenai Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 dan peranan Denmark sebagai ahli tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) 2025-2026.
Katanya, kedua-dua pemimpin juga akan membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa serta berkepentingan bersama.
“Rasmussen juga akan menghadiri majlis resepsi sempena pembukaan semula Kedutaan Besar Denmark di Kuala Lumpur,” katanya.
Antara Januari dan Oktober tahun ini, jumlah dagangan Malaysia dengan Denmark meningkat sebanyak 12.9 peratus kepada RM2.19 bilion berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu.
Malaysia juga menempatkan lebih 100 syarikat dari Denmark dengan nilai pelaburan melebihi RM2.2 billion dalam bidang pembuatan sehingga Jun lalu yang mewujudkan 5,024 peluang pekerjaan. – WILAYAHKU