AKAUN keldai atau mule account bukanlah perkara baharu kerana beberapa tahun kebelakangan ini ia dilihat semakin berleluasa lebih-lebih lagi dengan penggunaan media sosial yang tinggi dalam kalangan rakyat Malaysia.
Modus operandinya adalah dengan meminta mangsa (akaun keldai) membuka akaun bank untuk disewa mahupun dijual dengan tawaran harga yang agak lumayan sekali gus mampu mengaburi mata sesiapa sahaja.
Pelbagai cara licik digunakan sindiket bagi mencari akaun keldai di laman-laman sosial antaranya menawarkan sewa beli akaun, pinjaman ekspres atau memberi pinjaman wang kepada ‘kenalan’ mahupun melalui tawaran kerja.
Biasanya pemilik akaun sedar bahawa akaun mereka digunakan oleh pihak ketiga tersebut. Persoalannya kini adakah ia secara rela atau paksa? Atau adakah persetujuan tersebut hanya berpaksikan duit semata-mata hingga sanggup menjerat diri sendiri?
Terbaharu, media melaporkan terdapat 208,000 akaun keldai di negara ini yang mana sebahagiannya adalah milik penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT). Jelas menunjukkan sindiket ini semakin galak mencari mangsa sehingga menyasarkan golongan terpelajar yang mungkin berdepan masalah kekangan kewangan.
Memberi pandangan terhadap isu tersebut, ASP Bersara, Rahmat Fitri Abdullah berkata sama ada mangsa tahu atau tidak diri dijadikan akaun keldai, mereka tetap akan dikategorikan bersalah.
“Biasanya bila kita lakukan siasatan, mereka akan bagi alasan tidak tahu tetapi daripada segi logik akal fikiran, semua orang pasti tahu tak boleh serah serta tak boleh bagitahu butiran peribadi perbankan kepada orang lain lebih-lebih lagi kepada pihak yang kita tidak kenal.
“Dalam undang-undang perkataan tidak tahu adalah satu alasan yang tidak boleh diguna pakai yang tidak munasabah sebab tanggungjawab ambil tahu itu adalah tanggungjawab kita sebagai pemegang akaun.
“Sebagai contoh, bila kita buka akaun, sudah tentu wajib ambil tahu syarat-syarat dan etika. Namun kadang-kadang saya lihat, pemegang akaun tidak faham pun apa yang mereka tandatangan. Baca pun tak habis. Tolonglah untuk lebih peka. Jangan suka pandang ringan dalam perkara sebegini.
“Cuma pelajar ini mereka mudah terdedah antaranya disebabkan kawan-kawan ajak cari duit lebih, nak jana pendapatan dengan cara mudah lebih-lebih lagi waktu belajar mana tiada gaji,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, penasihat di Rahmat Fitri Consultant Sdn Bhd ini turut menggesa pihak yang bertanggungjawab untuk membantu pemegang akaun memahami akan prosedur operasi standard (SOP) agar mereka sentiasa berhati-hati.
“Saya lebih suka untuk bawa pembaca berfikir, kenapa seseorang itu jadi scammer? Dia kata sebab desakan hidup, susah cari kerja, terpengaruh kawan-kawan dan sebagainya tetapi bila kita siasat latar belakang memang kebanyakannya orang susah pun.
“Jadi, apa-apapun saya berbalik kepada pendidikan kerana mentaliti adalah perkara yang paling penting untuk mengekang masalah ini. Bila ada laporan yang menunjukkan ia melibatkan pelajar, jadi kita dapat lihat daripada satu sudut, perlu ditekankan tentang scammer sejak di bangku sekolah rendah lagi supaya mereka lebih arif dengan isu ini biarpun kecil. Contohnya mereka tahu menyerahkan kad bank kepada orang lain salah, kongsi data salah, jual dan sewa akaun pun salah,” tegas beliau.
Berpengalaman 21 tahun dan pakar dalam mengenal pasti serta membongkar aktiviti sindiket scam, Rahmat mengakui golongan muda masih belum cukup matang untuk membuat keputusan sendiri.
“Bagi saya apa yang berlaku ini satu petanda baik supaya semua pihak terlibat ambil pendekatan untuk memperluaskan lagi serta memperhebatkan pendidikan tentang scammer. Jika pelajar universiti pun boleh tertipu apatah lagi golongan lain yang tidak mendapat pendidikan tinggi, duduk di kampung dan sebagainya.
“Namun perkara ini sebenarnya terkait dengan mentaliti rakyat Malaysia juga. Contohnya dalam bidang pelaburan, kalau kita tak tamak, tak degil takkan terkena scam. Mudah sahaja sifirnya,” ujar beliau yang pernah berkhidmat selama 21 tahun dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Berbicara lanjut tentang usaha giat yang dilakukannya untuk membantu rakyat Malaysia melindungi harta benda dan wang yang terdedah dengan scam, Rahmat berkata ia mungkin memakan masa yang lama namun beliau tidak pernah lelah untuk melaksanakannya sehingga ia berhasil.
“Kena libat semua pihak, saya cuma sampaikan ilmu biarpun cakap berulang-ulang kali namun tidak mengapa. Kita perlu istiqamah dalam melakukan kebaikan kepada sesiapa sahaja. Saya yakin suatu hari nanti orang akan dengar cakap saya dan ikut apa yang saya sampaikan supaya tidak terjerumus dalam penipuan yang entah bila akan berkesudahan ini.
“Mungkin peringkat golongan muda, umur 20-an sukar untuk dengar apa yang saya sampaikan tetapi peringkat umur 30-an, saya yakin mereka lebih peka dengan isu ini sebab mereka dah mula ada duit serta kerjaya yang stabil,” ujar beliau.
Pada Julai tahun ini, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2024 untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) yang antara lain bertujuan mengekang jenayah dalam talian menggunakan akaun keldai bagi menjalankan aktiviti penipuan.
Cadangan pindaan itu meliputi dua skop utama iaitu peruntukan baharu bagi kesalahan berkaitan akaun keldai serta tafsiran financial instrument dan payment instrument serta melibatkan pewujuduan empat seksyen baharu.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said ketika membentangkan rang undang-undang untuk bacaan kali kedua berkata jumlah kerugian melibatkan jenayah penipuan dalam talian untuk tempoh kurang tiga tahun adalah sebanyak RM2,651,398,000.34. – WILAYAHKU