Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Artikel

Menoleh era gemilang surat khabar

ERA kegemilangan surat khabar menyumbang pada penyebaran maklumat yang lebih rinci - Gambar hiasan
- Diterbit 28 Jun 2024 10:50 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

MENOLEH masa lalu dalam mengenangkan era kegemilangan tidak sahaja memberikan kegembiraan, masa yang sama mengingatkan tentang kehilangan yang tidak mungkin berulang pada masa depan. Sekalipun begitu masa lalu adalah petunjuk arah dalam melangkah menuju masa depan yang sukar bayangkan rupa wajah keadaannya.

Begitulah juga dengan hilangnya satu tradisi surat khabar yang panjang apabila masyarakat melangkah era digital yang lebih berdaya saing segi teknologinya. Dua dekad abad ke-21 membawa kita pada realiti baharu kedatangan teknologi digital dan kehilangan tradisi surat khabar.

Surat khabar adalah terjemahan daripada bahasa Inggeris, newspaper. Kalau diterjemah secara literal menjadi ‘kertas berita’. Bagaimanapun disebabkan kekayaan kosa kata bahasa Melayu, ‘berita’ adalah ‘khabar’ kerana sudah ada ‘tanya khabar’ yang digunakan secara meluas dan ‘kertas’ diperincikan sifatnya sebagai ‘surat’.

Sebab itulah dalam surat khabar tidak sahaja dimuatkan dengan berita, tetapi juga pesanan. Definisi pesanan itu boleh difahami sebagai perutusan pemikiran daripada golongan pemikir yakni wartawan kepada masyarakat. Maka wartawan bukanlah tukang lapor, tetapi pemikir yang membentuk pemikiran bangsanya.

Menghasilkan surat khabar adalah kerja yang remeh, memerlukan banyak tenaga kerja dan terpaksa pula merentas berbagai-bagai proses sebelum buah fikir wartawan sampai kepada pembaca. Di tengah-tengahnya ada pengedar yang sangat penting memastikan surat khabar disebar secara menyeluruh ke segenap tempat.

Sekalipun tulisan ini menoleh era kegemilangan surat khabar, tetapi bukanlah menafikan sumbangan pendigitalan dalam kerja-kerja kewartawanan. Sebaliknya sekadar mengingatkan bahawa kita pernah ada tradisi surat khabar dan kewartawanannya yang kukuh serta telah berperanan dalam membentuk pemikiran khalayak.

Malah perubahan yang berlaku daripada surat khabar pada digital wajar diterima adalah proses semula jadi yang perlu diadaptasi dengan sebaiknya supaya semangat daripada tradisi surat khabar tidak putus di gerbang digital.

Surat khabar berperanan menyediakan menu sosial dalam berdepan kehidupan semasa selain menemukan masyarakat dengan khabar manusia yang penuh hitam putihnya dari seluruh pelosok dunia. Khabar yang disampaikan melalui ‘surat’ itu tidak sahaja untuk diketahui, tetapi diambil iktibar yang sedalamnya.

Era kegemilangan surat khabar menyumbang pada penyebaran maklumat yang lebih rinci dan membawa masyarakat melihat kekejaman manusia terhadap yang lain ketika Barat sibuk bercakap tentang nilai dan peradaban tinggi. Ironinya Barat jugalah yang bermain catur menggerakkan kekejaman itu.

Surat khabar juga yang membawa khabar tentang kelakuan manusia di penjuru dunia lain yang tidak semuanya seperti kita sanggup berbahagi nikmat hidup bernegara dengan sesiapa sahaja. Khabar yang dibawa oleh surat khabar itu boleh dijadikan perbandingan tentang kelebihan dan kekurangan kita.

Perjuangan menuntut kemerdekaan daripada penjajah British menjadi bukti penting bahawa surat khabar Melayu waktu itu sangat berpengaruh sejak awal dekad 1940-an. Sekalian para wartawan zaman awal surat khabar itu juga adalah nasionalis, bukan sekadar tukang lapor.

Paksinya adalah etika

Malah tradisi persuratkhabaran Melayu yang menjadikan surat khabar berbeza dengan pamplet walaupun kedua-duanya adalah tulisan di atas kertas. Itu membuktikan surat khabar didukung oleh satu tradisi kewartawanan yang tidak ada pada penulisan di pamplet.

Suatu penegasan penting dan telah disumbangkan pada era surat khabar adalah tidak sekadar pembawa maklumat. Peranan surat khabar adalah membawa pemikiran wartawan dalam membina keyakinan bangsa untuk berdepan segala bentuk cabaran zaman.

Saya selalu menyarankan untuk memahami era gemilang dunia surat khabar tontonlah filem All The President’s Men arahan Alan J Pakula yang diterbitkan tahun 1976. Daripada filem yang meminjam berlatar era Presiden Richard Nixon dekad 1970-an itu membuktikan kuasa dan pengaruh surat khabar kepada masyarakat.

Filem yang bergerak atas pengalaman sebenar dua wartawan The Washington Post itu memperlihatkan kuasa surat khabar dalam memperjuangkan isu yang ada nilai kepentingannya kepada rakyat. Latar dekad 1970-an dalam filem adalah sama dengan era gemilang dunia surat khabar di negara ini.

Saya menonton All The President’s Men pada tahun 1984 serentak dengan langkah awal dalam dunia persuratkhabaran. Sejak itu surat khabar menjadi persekitaran baharu hidup saya. Keterujaan itu bertambah apabila menyaksikan tindakan nekad wartawan dalam membongkarkan kebobrokan pemimpin seperti Nixon.

Presiden yang sehebat dan selicik Nixon pun boleh tersungkur dengan kuasa surat khabar yang membongkar skandal Watergate. Keadaan itu tidak mungkin berlaku sekiranya surat khabar waktu itu didukung oleh wartawan yang berkepentingan, berpihak dan menjadi tukang catat cerita-cerita penglipur lara pemimpin politik.

Filem itu menjadi satu dokumentasi sosial yang penting tentang era gemilang dunia persuratkhabaran sekali gus nilai dan etika kewartawanannya. Itulah eranya kerjaya kewartawanan yang dipandang tinggi, dihormati dan digeruni. Untuk menjadi wartawan pula tidak mudah, maka jumlahnya tidak melimpah ruah.

Ketika edaran surat khabar menampakkan penurunan yang ketara, skandal Watergate diangkat sekali lagi ke filem menerusi The Post tahun 2017 arahan Steven Spielberg. The Post mengambil latar yang sama tetapi jalur naratif yang sedikit berbeza mengangkat wibawa pemimpin editorial dalam memerangi pemimpin korup seperti Nixon.

Filem itu juga wajar menjadi rujukan dalam kalangan wartawan baharu atau lama untuk melihat tanggungjawab yang didukung oleh sesebuah surat khabar dalam memperjuangkan sesuatu isu dan kepentingan rakyat.

Kewartawanan surat khabar kini sudah beralih pada digital apabila surat khabar bercetak diterbitkan secara digital atau dalam talian. Bagaimanapun kewartawanan tulen tetap ada dan diperlukan, yang berbeza hanya budaya kerja mengejar masa sebenar (real time) sesuatu peristiwa dan bukan lagi masa akhir (deadline).

Perubahan surat khabar bercetak pada digital itu tidak sahaja berlaku di negara kita, malah sudah lama bermula di luar negara. The Washington Post sendiri misalnya sudah lama beralih format digital dan dalam talian. Surat khabar bercetak The Washington Post terus diterbitkan tetapi dalam skala yang lebih kecil.

Sama ada kewartawanan surat khabar atau digital, kedua-duanya adalah sama. Paksinya adalah etika. Pihak yang menentukan pelestarian etika kewartawanan adalah dalam kalangan wartawan sendiri, pemimpin editorial dan wartawan di lapangan. Berakhirnya era gemilang surat khabar bukanlah satu tragedi selagi pemimpin editorial dan wartawan terus tekal mendukung serta meluruskan etika kewartawanan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas