Berita

Menoktahkan kemiskinan tegar: ‘Janganlah kata gagal’, PM tegur Ahli Parlimen PN

Foto; BERNAMA
- Diterbit 22 Oktober 2024 1:48 PM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur seorang Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) yang mendakwa kerajaan telah gagal dalam usahanya menoktahkan kemiskinan tegar.

Sebeliknya tegas Anwar, jumlah isi rumah yang masih berada dalam kategori tersebut dipetik daripada rekod sebelum ini iaitu ketika PN mengetuai pentadbiran kerajaan.

“Janganlah kata gagal. Jumlah ini (kemiskinan tegar) adalah jumlah masa kerajaan yang disokong oleh Yang Berhormat (PN).

“Kita (Kerajaan Perpaduan) guna angka itu dan kita selesaikan. Kemudian saya rujuk kepada semua kerajaan negeri dan setakat ini mereka memberikan kerjasama sepenuhnya.

“Dan saya beritahu jumlah ini (kemiskinan tegar) sekian, di Kelantan umpamanya sekian, Rantau Panjang sekian dan kita selesaikan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang mendakwa kerajaan gagal dalam usaha menoktahkan kemiskinan.

Jelas Perdana Menteri, sebanyak 65.6 peratus kemiskinan tegar daripada 22,893 telah diselesaikan berdasarkan rekod yang didaftarkan sehingga 1 Ogos lalu.

Katanya, jumlah tersebut bagaimanapun tidak memenuhi keseluruhan jumlah tuntutan, sekali gus meminta semua kerajaan negeri membuat pendaftaran baharu bagi menyelesaikan masalah miskin tegar.

“Apa yang diperoleh setakat 31 Januari 2023 adalah setiap ketua isi rumah termasuk kategori miskin tegar 126,372 orang dan setakat 29 Julai lalu, yang dikesan dari Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) dan e-kasih telah diselesaikan. Angka ini bertambah oleh kerana kejayaan tersebut merupakan jumlah baru didaftarkan sehingga 29 Julai lalu.

“Pada 1 Ogos lalu kita buka untuk permintaan baru termasuk rekod lama yang perlu dibantu 22,893 orang, ia setakat Julai tahun ini,” katanya.

Mengenai mekanisme menentukan kategori miskin tegar, Perdana Menteri berkata, ukuran yang digunakan adalah berdasarkan per kapita.

“Dulu kita ambil pendapatan, tetapi kita lihat ada kelemahan umpamanya kalau pendapatan RM2,000 tetapi empat isi rumah, jadi pendapatan sebenar RM500. Berbeza RM2,000 dengan lapan isi rumah, jadi pendapatan sebenar adalah RM250.

“Sebab itu ia diubah dari pendapatan kepada per kapita, saya rasa lebih tepat, tetapi ia perlu mengambil kira per kapita berapa orang anak dan tanggungan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas