Agama

Menjaga keramat hidup, pengabaian terhadap ibu bapa

MENGABAIKAN ibu bapa termasuk di dalam maksud derhaka paling besar dosanya. – Gambar hiasan
- Diterbit 20 September 2024 4:40 PM MYT

MENJAGA dan berbuat baik terhadap kedua ibu bapa sememangnya menjadi kewajipan dan tanggungjawab anak-anak kerana tanpa mereka maka tiadalah kita di dunia ini.

Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, khususnya yang telah tua atau terlantar sakit, ini masanya untuk anak-anak membalas jasa insan yang telah membesarkan kita dengan membahagiakan mereka.

Islam juga menuntut anak-anak supaya mendoakan kesejahteraan ibu bapa termasuk yang telah kembali ke rahmatullah.

Bercakap soal menjaga dan berbuat baik kepada ibu bapa, banyak ayat al-Quran menyentuh hal berkenaan termasuk adab yang mesti dijaga ketika menyantuni atau hidup bersama mereka.

Firman Allah SWT dalam surah al-Isra’ ayat 23: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang keduanya atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun).”

‘Teguran’ Allah itu cukup menginsafkan bagi kita, tidak kira sama ada bapa atau ibu ada membuat salah dan ‘mengecewakan’ hati si anak, mereka tetap ibu atau bapa yang perlu dijaga serta dikasihi sehingga akhir hayat.

Begitulah mulianya kedudukan ibu bapa dalam Islam sehinggakan golongan itu ditekankan oleh Allah SWT menerusi firman-Nya di dalam al-Quran.

Malah Allah SWT turut menekankan kepada bentuk bahasa yang perlu dielakkan ketika mendepani ibu bapa agar tidak mengguris hati serta perasaan mereka.

Tidak cukup dengan itu, berbakti kepada ibu bapa juga perlu diteruskan biarpun kedua-duanya sudah tiada, seperti mendoakan kesejahteraan selain bersedekah dengan meniatkannya atas nama mereka.

Itulah tuntutan-tuntutan agama agar kesinambungan jasa ibu bapa tidak dilupakan sama sekali.

Namun begitu, mutakhir ini kita sering dihidangkan dengan berita-berita pengabaian ibu bapa oleh anak-anak sehingga ada yang bertahun-tahun lamanya tidak menjenguk mereka. Keadaan ini cukup menyedihkan bagi insan yang telah berkorban apa sahaja untuk membesarkan anak-anak.

Diajak mengulas mengenai kes anak-anak yang didakwa mengabaikan ibu bapa, ia jelas memberi kesan yang amat mendukacitakan buat Penasihat Hal Ehwal Agama Islam di Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor.

WAN SALIM

Bekas Mufti Pulau Pinang itu menegaskan kepada semua mengenai dosa derhaka bagi anak-anak yang berkelakuan sedemikian.

“Memang amat mendukacitakan apabila terjadi kes anak-anak mengabaikan ibu bapa bertahun-tahun lamanya. Sikap sedemikian tidak diragukan lagi termasuk di dalam maksud derhaka terhadap ibu bapa yang paling besar dosanya selepas dosa syirik kepada Allah SWT,” tegasnya kepada Wilayahku.

Beliau turut menegaskan bahawa Islam melarang anak-anak menderhakai ibu bapa walau apa sekalipun yang kedua-duanya lakukan yang mungkin menyakiti perasaan anak-anak.

Ini katanya, adalah kerana kedua-duanya tetap ibu bapa dalam keadaan apa sekalipun.

Tegas Wan Salim, syaitan memang sering menghasut seseorang supaya sentiasa mengenang perkara-perkara negatif yang dilakukan oleh ibu bapa terhadap seseorang pada masa kecil.

“Tujuannya adalah untuk menghalang seorang anak daripada membuat baik kepada ibu bapa,” katanya.

Beliau memberitahu, walhal amat besar pahala di sisi Allah bagi sesiapa yang memberi layanan baik kepada ibu bapanya terutama ketika mereka berada di usia senja.

Katanya, semua sedia maklum bahawa agama Islam menyukai seseorang yang membalas dengan baik kejahatan orang lain ke atas dirinya.

“Ini lebih-lebih lagilah terhadap ibu bapa sendiri. Jika memaafkan kesalahan orang lain dianggap suatu amalan terpuji maka apa lagilah memaafkan kesalahan ibu bapa,” katanya.

Justeru beliau menasihati anak-anak yang mengabaikan ibu bapa sehingga tergamak membiarkan kedua-duanya atau salah seorangnya mati tanpa mangambil tahu, supaya segera bertaubat kepada Allah.

Mereka juga katanya, hendaklah membuat kebajikan dengan membanyakkan sedekah dan sebagainya dengan niat pahalanya disampaikan kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia.

“Semoga segala amal kebajikan itu mampu menebus dosa anak-anak disebabkan pengabaian terhadap kewajipan berbakti kepada ibu bapa,” katanya.

Seperkara lain, ibu bapa merupakan anugerah terindah buat setiap insan dan anugerah berkenaan perlu dijaga sebaik-baiknya agar kita tidak tergolong sebagai anak derhaka seperti ditekankan dalam agama. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas