Oleh ZULKIFLI SULONG
ALHAMDULILLAH, Belanjawan 2025 selamat disampaikan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini adalah Belanjawan ketiga daripada Kerajaan Perpaduan.
Pelbagai pihak membuat pelbagai ulasan dan andaian masing-masing. Ada yang pro dan sudah tentu ada yang kontra.
Bagi tauke Ayam Bismi di Kedah, Mazlina Kamarudin, Bajet 2025 adalah bajet yang mementingkan golongan berpendapatan rendah.
“Tapi mommy tak berapa nampak ucapan terima kasih pun,” kata Ketua Pegawai Eksekutif, Ayam Bismi menerusi Facebook beliau itu.
Sahabat saya, Dr Zulqarnain Lukman mengulas tentang tujuh perkara dalam belanjawan kali ini yang berkait dengan Islam.
Tujuh perkara yang disenaraikan Dr Zulqarnain yang mempunyai PhD dalam bidang undang-undang ini adalah:
1) RM100 juta untuk memacu sektor kewangan Islam bagi menghasilkan produk baharu patuh syariah tidak lagi mirip konvensional.
2) RM10 juta kepada UIA dan INCEIF untuk meningkatkan kefahaman ekonomi Islam berdasarkan prinsip maqasid syariah.
3) Wakaf Madani iaitu RM300 juta kepada KWAP untuk pembangunan tanah wakaf bagi membina rumah persaraan warga emas berpendapatan rendah.
4) Wakaf Madani iaitu RM200 juta kepada UDA untuk pembangunan rumah mampu milik di atas tanah wakaf.
5) RM25 juta untuk program pemulihan akidah dan pengurusan anak-anak yang teraniaya oleh Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
6) RM2 bilion untuk pendidikan Islam.
7) RM1,620 juta bagi pembangunan industri halal.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Faiz Fadzil menyambut baik kenaikan subsidi, bantuan dan insentif untuk nelayan dan pesawah sebanyak RM2.78 bilion sepertimana yang diumumkan di dalam Belanjawan 2025.
“Belanjawan 2025 tidak mengenepikan komuniti petani, nelayan dan masyarakat luar bandar secara amnya.
“Sebagai Pengerusi LKIM, saya menyambut baik pengumuman kerajaan menaikkan peruntukan subsidi, bantuan dan insentif untuk nelayan dan pesawah kepada RM2.78 bilion,” kata Faiz dalam satu kenyataan.
Bos Faiz, Datuk Seri Mohamad Sabu juga menikmati kenaikan untuk kementerian beliau tahun ini.
Kenaikan peruntukan sebanyak 4.1 peratus untuk Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) yang membawa kepada RM6.42 bilion berbanding tahun lalu ialah cerminan komitmen kerajaan untuk memastikan keterjaminan bekalan makanan dan usaha meningkatkan produktiviti sektor agro makanan, kata Mohamad Sabu.
“Saya yakin belanjawan ini pastinya akan terus memperkukuhkan keterjaminan makanan negara selaras dengan matlamat Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
“Secara keseluruhannya, pada tahun 2025, KPKM telah diperuntukkan sebanyak RM6.42 bilion iaitu kenaikan sebanyak 4.1 peratus berbanding RM6.17 bilion pada tahun 2024,” katanya.
Kenaikan gaji minimun dari RM1,500 kepada RM1,700 sebulan juga menarik perhatian pelbagai pihak bahkan menjadi perdebatan hangat di media sosial.
Ada yang kata ia sangat baik dan ada juga yang kata selepas ini akan meningkatlah kos harga barangan selepas gaji bertambah.
Namun saya nak kata satu saja, kalau kerana itu menyebabkan kos barangan akan naik, maka tidak perlulah semua orang naik gaji atau ekonomi kita berkembang kerana ia akan menyebabkan harga barang akan naik.
Cadangan kerajaan untuk menamatkan subsidi petrol Ron 95 akan menjadi kenyataan pertengahan tahun ini. Namun, ia ditegaskan oleh Anwar, hanya 15 peratus rakyat negara ini yang dinamakan kumpulan T15 tidak akan mendapat subsidi ini. 85 peratus lagi rakyat akan kekal mendapat subsidi petrol ini. Turut tidak akan mendapat subsidi ini adalah bukan warganegara atau rakyat asing yang masuk ke negara ini.
Kumpulan T15 ini sememangnya golongan yang tidak memerlukan bantuan atau subsidi kerajaan bahkan mereka yang sewajarnya memberikan pertolongan kerana mereka adalah golongan yang dikira kaya raya.
Begitu banyak kebaikan yang dipertontonkan dalam Belanjawan 2025 ini, tetapi pihak pembangkang sebagaimana biasa memperlekehkannya.
MP Hulu Terengganu, Rosol Wahid ketika mencelah bos beliau iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin, ketika membahaskan belanjawan ini melihat istilah yang digunakan Anwar ketika membahaskan ucapan ini.
Rosol berkata perkataan KETIMBANG yang digunakan Anwar ketika membentangkan belanjawan ini bermaksud ‘Ke kencing, ti-tipu dan bang-sembang’.
Namun kasihan kepada bekas pemimpin UMNO yang melompat kepada BERSATU ini, bos beliau dengan jelas berkata beliau tidak mahu campur hal itu.
Rakan saya, Norman Radzuan mengulas panjang kenyataan Rosol ini. Bagi beliau Rosol memalukan orang Hulu Terengganu sahaja seolah-olah tidak ada isu lain yang nak dibahas tentang belanjawan ini.
“Bila kita Google mudah sahaja untuk kita temui maksud tersebut. Ketimbang itu bahasa Melayu yang popular digunakan bangsa Indonesia yang bermaksud perbandingan atau ayatnya berbanding dengan. Jadi apa isunya?,” tulis Norman.
Selain ketimbang, kata Norman, Anwar menggunakan lapan lagi perkataan yang jarang kita gunakan bagi menunjukkan betapa kayanya bahasa kita ini.
Marcapada, arakian, taakul, intiha, mahsul, kesenjangan, sementelahan dan walhasil adalah perkataan yang kita jarang gunakan tetapi telah digunakan Anwar ketika membentangkan belanjawan kali ini.
Bagi seorang rakan saya yang lain, Rozol telah menyindir pemimpin beliau sendiri ketika mentafsirkan perkataan’ ketimbang’ itu.
Kencing maksudnya, semua rakyat negara ini dikencing oleh Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Md Yassin apabila berkata mahu membela Melayu tetapi menggunakan janawibawa untuk kepentingan diri, parti dan anak-beranak sendiri.
Tipu pula ditujukan Rosol kepada Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang apabila menipu rakyat kononnya PN sudah cukup jumlah untuk membentuk kerajaan selepas PRU-15 lalu.
Manakala sembang pula ditujukan Rosol kepada Ketua Pembangkang, Hamzah yang sembang kencang konon beliau tidak tahu-menahu tentang anak beliau yang menyeludup minyak masak ketika beliau menjadi menteri dahulu dan kini berdepan dengan pendakwaan.
TULISAN ini hanya pandangan penulis sahaja tidak bertujuan untuk menyakiti sesiapa kecuali yang tersakiti sendiri.