JABATAN Wilayah Persekutuan (JWP) sedang dalam perbincangan dengan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk mendaya-upayakan golongan gelandangan yang selama ini menjadi ‘masalah (problem)’ dalam penghasilan sampah kepada ‘sumber penyelesaian (solution)’ pembersihan sampah di Wilayah Persekutuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, langkah tersebut merupakan antara usaha pihaknya dalam memastikan kebersihan di Wilayah Persekutuan khususnya Kuala Lumpur dipelihara.
“JWP telah melaksanakan program Bersih Setiap Tempat (BeST) di semua kawasan Parlimen dalam Wilayah Persekutuan yang bertujuan meningkatkan tahap kebersihan, kesedaran sivik, serta rasa tanggungjawab bersama dalam kalangan warga Wilayah Persekutuan.
“Inisiatif ini selari dengan visi Bandar CHASE, di mana kebersihan menjadi salah satu komponen utama dalam membentuk sebuah Clean City dan akan dipanjangkan untuk dilaksanakan sendiri oleh mereka yang berminat termasuk komuniti, Majlis Perwakilan Penduduk, NGO, persatuan penjaja dan lain-lain,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen pada Selasa.
Menjelas lanjut, Zalihat berkata dalam masa yang sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya (PPj), dan Perbadanan Labuan (PL) memperkasakan inisiatif Waste to Wealth dan Zero Waste bagi meningkatkan pengurusan sisa serta kelestarian alam sekitar di Wilayah Persekutuan.
“Antaranya, program 1 Komuniti 1 Kitar Semula (1C1R), yang membolehkan komuniti menukar barangan kitar semula kepada keperluan harian melalui sistem barter atau pembayaran sewa rumah bagi penduduk PPR/PA. Mereka juga boleh menjana pendapatan dengan pertukaran minyak masak terpakai (Circular Economy),” katanya.
Zaliha berkata beberapa langkah turut diambil dalam memperbaiki pengurusan sampah dan mengatasi masalah pembuangan sampah haram di seluruh Wilayah Persekutuan.
“SWCorp dan Alam Flora meningkatkan kutipan sampah di pusat bandar, sementara Zon Bebas Sampah diperkenalkan dengan kompaun maksimum RM500 bagi kesalahan membuang sampah serta menambah frekuensi sehingga tiga kali pembersihan dalam tempoh 24 jam;
“Pemasangan 2,000 kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi AI di WP Kuala Lumpur bagi mengesan aktiviti pembuangan sampah haram.
“Ops Penguatkuasaan Anti-litter dikuatkuasakan, dengan 2,457 kompaun dikeluarkan pada 2024 di bawah Akta 133 (Akta Jalan, Parit dan Bangunan),” katanya.
Beliau berkata di Putrajaya, pemantauan kebersihan dilakukan sekurangkurangnya 24 kali setahun, sementara di Labuan, kutipan sisa domestik dijadualkan tiga kali seminggu di luar bandar dan setiap hari di kawasan bandar.
“Labuan menambah 14 tong Roro (jumlah kini 35), membina enam tapak Roro, lima rumah sampah, dan 104 tapak sampah di kawasan hot spot. Sebanyak 83 Communal Bin dibeli dengan kapasiti 1,100 liter (18 unit), 240 liter (25 unit), dan 120 liter (40 unit).
“Rondaan juga akan ditingkatkan di kawasan aduan pembuangan sampah haram dan keperluan pemasangan CCTV sedang dinilai,” katanya.
Katanya, DBKL akan melancarkan Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sifar Sisa 2040 yang mensasarkan 60 peratus pengurangan sisa menjelang 2040 ke tapak pelupusan.
“Ini membuktikan komitmen berterusan JWP serta agensi di bawahnya dalam memastikan pengurusan sampah sentiasa berada pada tahap yang terbaik,” katanya. – WILAYAHKU