Putrajaya

Mengopi dengan kuda

- Diterbit 25 November 2024 6:25 PM MYT

SELAIN terkenal dengan taman-taman awamnya yang cantik, Putrajaya juga menawarkan lokasi tersembunyi yang sesuai untuk mengopi sambil healing bersama keluarga atau rakan-rakan terutama pada hujung minggu.

Mempunyai reka bentuk seakan kandang kuda menjadikan Ekues Cabin Cafe antara lokasi tumpuan pelancong luar dan dalam negara sejak ia mula dibuka semula pada Julai lalu.

Menurut pemiliknya, Mohd Iqbal Kamaruddin, 34, bertepatan dengan lokasinya, Ekues Cabin Cafe mengetengahkan konsep kandang kuda dari sudut luaran manakala di sebelah dalam pula dekorasinya seakan tempat peralatan kuda (tack room).

“Untuk hiasan dalaman, pelanggan boleh lihat peralatan seperti pelana, kasut but, topi keledar dan banyak lagi kelengkapan untuk menunggang kuda serta aksesori untuk haiwan tersebut yang digunakan sebagai dekor. Ia diibaratkan sebuah bilik untuk persalinan kuda.

“Di sini juga pelanggan boleh menikmati makanan sambil melihat kuda dan sekiranya terdapat penganjuran acara berskala besar, mereka boleh melihat pelbagai spesies dan mengenali jenis-jenis baka kuda dari luar negara juga. Pasti ada pengunjung yang akan jatuh cinta dengan sukan berkuda selepas melihat aksi penunggang mahir dan juga sifat haiwan yang menjadi haiwan kesayangan Rasulullah SAW ini.

“Selain itu, kita juga mengekalkan konsep outdoor di mana terdapat pokok besar yang boleh melindungi pelanggan daripada terik matahari dan boleh jadi port healing terbaik mereka dengan berlatarkan padang polo yang luas,” ujarnya yang mempunyai pengalaman selama lima tahun di dalam industri makanan dan minuman (F&B).

Mengulas lanjut, Mohd Iqbal berkata idea dan konsep bagi wajah baharu Ekues Cabin cafe adalah daripada pihaknya sendiri dan turut melantik pereka bentuk pihak luar bagi menambah baik motif yang cuba disampaikan kepada pelanggan.

“Konsep tersebut dipilih kerana kami ingin menyampaikan vibe atau tenaga sukan berkuda ini sebagai dining experience kepada pelanggan sekali gus menunjukkan peranan Ekues bukan sahaja sebagai sebuah kafe tetapi juga tempat untuk mendekatkan lagi masyarakat dengan dunia berkuda.

“Ramai yang masih skeptikal bahawa sukan berkuda adalah untuk golongan elit sahaja malah masih ada yang beranggapan bahawa Taman Ekuestrien Putrajaya (TEP) ini adalah kawasan persendirian atau clubhouse seperti di Bukit Kiara.

“Di sini juga Ekues Cabin Cafe memainkan peranan untuk menangkis semua prasangka itu dengan menguar-uarkan bahawa TEP sebenarnya adalah salah satu taman awam di pusat pentadbiran ini dan ia terbuka kepada orang ramai.

“Pada awalnya kita hanyalah ibarat kantin untuk para groomer di TEP ini di mana selepas itu kita jadikannya kabin yang lebih besar serta lebih sesuai untuk masyarakat luar dan kini sudah mempunyai dua tingkat di mana pelanggan boleh memilih untuk duduk di dalam atau di luar kafe,” ujarnya.

MAKANAN BERKONSEP

MESKIPUN sudah berwajah baharu namun Ekues Cabin Cafe masih mengekalkan ‘culture’nya sebagai satu pit stop kepada para penunggang kuda sebelum atau selepas melakukan aktiviti.

Mohd Iqbal berkata, justeru itu pihaknya mengetengahkan menu berkonsepkan pre/post workout friendly.

“Kami menggabungkan barat dan Asia untuk menu yang ditawarkan dan antara yang menjadi pilihan pengunjung adalah nasi padang polo, spageti carbonara, spicy stack toast, mushroom soup with garlic toast, pony sweet french toast dan banyak lagi serta pelbagai minuman kopi dan refresher.

“Pihak kami masih dalam usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menambah menu-menu unik di Ekues Cabin Cafe,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Iqbal turut berharap agar jenama Ekues ini akan terus terpahat di hati pelanggannya.

“Untuk masa akan datang, saya nak jenama Ekues ini dikenali dengan elemen kuda di mana makanan dan minuman di sini mempunyai keunikan tersendiri agar nama ini boleh bertapak di mana sahaja bukan hanya di tepi padang polo,” ujarnya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas