ISU pemilik perniagaan warga tempatan menyewakan lesen niaga termasuk menggajikan pekerja asing terus menjadi tumpuan dan agenda utama kerajaan bersama agensi terlibat.
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) secara amnya adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang diarahkan untuk melakukan tinjauan dan pemantauan berkala terhadap premis-premis perniagaan di sekitar Kuala Lumpur seiring dengan tuntutan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, baru-baru ini.
Kehadiran warga asing ke negara ini bukan sahaja memberi kebimbangan dan ketidakselesaan kepada penduduk tempatan malah mereka juga dilihat berani seolah-olah mahu mendominasi sesebuah kawasan terutama di Kuala Lumpur.
Walau bagaimanapun, usaha pelbagai pihak untuk menangani permasalahan ini terus dipertingkatkan biarpun isu ini sudah membelenggu sejak beberapa tahun lalu.
Terbaharu, DBKL telah mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap sebuah premis di Jalan Mega Mendung kerana membenarkan dan menggajikan pekerja warga asing tanpa permit.
Susulan daripada itu, DBKL telah mengeluarkan dua notis kompaun di bawah Undang-Undang Kecil Penempatan Makanan (WPKL) 2016 (1)(b) terhadap premis tersebut.
“Warga asing yang digajikan tidak mempunyai permit bekerja yang sah. Walau apapun alasannya, peraturan perlu dipatuhi. Jika melibatkan warga asing perlulah dengan permit yang sah dan jangan mengali babakan lesen kepada mereka,” jelas DBKL dalam satu kenyataan pada Selasa.
Dalam perkembangan lain, DBKL turut mengeluarkan 12 kompaun pelbagai jenis kesalahan terhadap premis perniagaan di sekitar kawasan Desa Sri Hartamas menerusi satu operasi yang dijalankan baru-baru ini.
Menerusi operasi Anti-Litter (anti-sampah) yang dijalankan oleh lapan petugas Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar (JKAS) mendapati 12 kompaun yang dikeluarkan itu melibatkan lima kompaun di bawah Seksyen 46(1)(d) kerana meletakkan barang berhubung dengan Tred Perniagaan di tempat awam.
“Enam kompaun kerana meletak dan membuang kertas, abu, bangkai serta sampah sarap di tempat awam di bawah Seksyen 47(1)(a) serta satu kompaun di bawah Seksyen 47(1)(d) ekoran membuang sisa kotoran ke dalam longkang awam,” katanya.
Jelas DBKL, matlamat operasi dijalankan adalah bagi memastikan pemilik premis serta orang awam menjaga kebersihan persekitaran, tidak meletakkan halangan di atas siar kaki termasuk longkang kerana ia berupaya menghalang kerja-kerja pembersihan untuk dilaksanakan. – WILAYAHKU