Berita

Menara KL: Diskaun 40% buat penjawat awam, pesara kerajaan

- Diterbit 1 Disember 2023 12:45 AM MYT

BERITA baik buat kakitangan dan pesara kerajaan, Menara Kuala Lumpur menawarkan diskaun se­banyak 40 peratus (%) khusus untuk golongan berkenaan bagi tiket masuk bermula 10 November 2023.

Menara Kuala Lumpur berkata tawaran tersebut merupakan tanda penghargaan dan terima kasih pihaknya kepada penjawat awam yang telah memberikan sumbangan dan khidmat yang besar kepada masyarakat dan negara.

“Tawaran tersebut berupa tiket masuk ke tarikan yang terdapat di Menara Kuala Lumpur seperti Sky Deck, Observation Deck dan Tower Walk 100. Diskaun sebanyak 40%. Sebagai contoh harga asal bagi Sky Deck adalah RM71 namun selepas diskaun, mereka hanya perlu membayar RM43 sahaja.

“Observation Deck dengan harga serendah RM18 manakala Tower Walk 100 serendah RM9 sahaja. Ia merupakan satu tawaran yang menarik buat mereka yang ingin mengunjungi Menara Kuala Lumpur sekarang,” katanya menerusi satu kenyataan media.

Tambahnya, para pengunjung diwajibkan untuk membawa bersama Kad Pekerja atau Kad Pesara yang sah ketika pembelian tiket tersebut di kaunter tiket.

“Untuk maklumat lanjut mengenai sebarang promosi dan aktiviti Menara Kuala Lumpur, boleh layari media sosial rasmi kami di Instagram (@menarakl), Facebook ­­­(­@officialmenarakl) dan TikTok (@menarakl) atau boleh hubungi Unit Khidmat Pelanggan Menara Kuala Lumpur di talian 03-2020 5421,” ujarnya.

Selain tarikan yang dinyatakan, orang ramai juga boleh bergambar di kotak kaca, Sky Box di mana anda akan kelihatan seperti terapung di awang-awangan dan anda juga boleh memilih sama ada ingin bergambar berlatarbelakang Kuala Lumpur City Centre (KLCC) atau dengan pemandangan Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas