Berita

Menafikan konsep syurga, neraka: Ajaran The Ahmadi sesat, menyeleweng

- Diterbit 1 Januari 2025 9:00 AM MYT

MENAFIKAN konsep syurga dan neraka serta akhirat secara umum dan keseluruhannya yang termaktub di dalam Al-Quran dan Hadis.

Demikian antara kepercayaan dan amalan ajaran The Ahmadi Religion Of Peace And Light yang didapati sesat dan menyeleweng serta bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak.

Selain itu, ajaran tersebut mendakwa syurga yang didiami oleh Nabi Adam dan Hawa ialah di dunia malah syurga akhirat itu juga adalah di dunia manakala neraka pula membawa maksud matahari.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI), Datuk Dr Nooh Gadot berkata, ajaran itu juga mendakwa perbuatan homoseksual belum diharamkan pada zaman Nabi Lut dan perbuatan tersebut bukan satu kesalahan.

“Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-124 yang bersidang pada 26 hingga 28 Jun lalu telah membincangkan mengenai ajaran itu menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Muzakarah telah berpuas hati dengan hujah-hujah dan fakta-fakta yang telah dikemukakan oleh penyelidik dan berpandangan ajaan itu sesat dan menyeleweng,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau memberitahu, antara kepercayaan lain adalah mendakwa Muhammad bin a-Hassan al-Askari (Imam Syiah yang ke-12) sebagai Imam al-Mahdi dan dikatakan sedang bersembunyi serta akan muncul pada akhir zaman.

Malah katanya, mereka mendakwa Imam al-Mahdi akan menyempurnakan agama Islam yang masih belum sempurna.

Selain itu jelasnya, ajaran tersebut berpegang kepada konsep raj’ah atau kelahiran semula manusia yang telah mati (reincarnation).

Mereka juga katanya, mendakwa Al-Quran yang ada pada hari ini tidak lengkap atau diselewengkan.

“Ajaran sesat itu menafikan kewujudan malaikat pencatat amal baik dan buruk serta mendakwa ia simbolik kepada indera manusia.

“Mereka turut mendakwa bahawa selain Allah, terdapat pihak lain yang terbabit dan berperanan dalam penciptaan manusia dan alam,” katanya.

Justeru katanya, mana-mana individu atau kumpulan yang mengamalkan dan menyebar fahaman, ajaran dan pegangan seumpama itu adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.

Jelas beliau, orang Islam hendaklah menjauhi fahaman dan ajaran itu serta dilarang berpegang dan beramal dengannya.

“Sesiapa yang telah mengikut dan mengamalkannya hendaklah segera bertaubat kepada Allah SWT,” katanya.

Beliau memberitahu, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah menyembah maklum pandangan hukum tersebut kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah selaku Pengerusi MKI dan seterusnya ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang ke-267.

“Dalam hal ini, Mesyuarat Majlis Raja-Raja mengambil maklum mengenai pandangan hukum yang telah dipersetujui dan pihak berkuasa negeri-negeri boleh mempertimbang keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas