Berita

Membangun politik anak muda

MOHAMMED Taufiq Johari menyantuni rakyat di kawasan Parlimen Sungai Petani yang dahulunya diwakili oleh bapanya, Tan Sri Johari Abdul selama tiga penggal.
- Diterbit 11 Oktober 2024 11:10 AM MYT

BERUSIA 28 tahun, Ahli Parlimen Sungai Petani, DR MOHAMMED TAUFIQ JOHARI membarisi ‘watak-watak’ anak muda yang diangkat parti untuk bergelar wakil rakyat.

Dahulunya kerusi Parlimen tersebut diwakili bapanya, Tan Sri Johari Abdul selama tiga penggal. Biarpun kelibat bapanya tidak lagi muncul di pentas-pentas politik, namun kedua-dua mereka kini ‘bersatu’ di Parlimen apabila Johari dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat ke-11.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 pada 19 November 2022, Dr Mohammed Taufiq atau mesra dipanggil YB Taufiq satu-satunya calon Pakatan Harapan (kini berada dalam Kerajaan Perpaduan) yang memenangi kerusi Parlimen di Kedah, menyaksikan negeri itu kini kubu kuat pembangkang.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau berkongsi visinya selaku pemimpin muda mendepani masa depan khususnya pilihan raya umum akan datang.

YB berkhidmat di kerusi Parlimen Sungai Petani yang pernah disandang oleh bapa, Tan Sri Johari Abdul. Bagaimana YB melihat penerimaan rakyat terhadap YB jika dibandingkan ketika diwakili oleh bapa sebelum ini?

Terdapat sedikit perbezaan ketika kerusi Parlimen Sungai Petani ini disandang oleh Tan Sri (Johari). Perbezaan yang ketara ialah dari segi komposisi umur penduduk. Perkara ini dapat dilihat setelah kita memperkenal Undi 18 dan sekarang ini, ramai anak muda menjadi pengundi di Sungai Petani. Justeru pendekatan yang saya gunakan agak berbeza jika dibandingkan dengan era sebelum Undi 18.

Saya banyak membuat program menyantuni anak muda tanpa meminggirkan golongan lebih tua. Jika dilihat dari segi penerimaan, sebenarnya tidaklah menunjukkan perbezaan besar, cuma penerimaan rakyat melibatkan harapan mereka untuk menerima pembaharuan atau sesuatu lebih baik berbanding apa yang dicapai oleh bapa saya selaku bekas Ahli Parlimen Sungai Petani.

Rakyat meletakkan harapan dan jangkaan tinggi kerana saya merupakan Ahli Parlimen yang muda. Oleh itu penerimaan rakyat menunjukkan keterujaan mereka tentang perubahan yang boleh dibawa dan dilaksanakan anak muda di Parlimen, apatah lagi sebagai Ahli Parlimen kerajaan.

YB merupakan satu-satunya calon Pakatan Harapan (kini berada dalam Kerajaan Perpaduan) yang memenangi kerusi Parlimen di Kedah. Sebagai pemimpin muda, apa usaha YB untuk mengembalikan kepercayaan pengundi menyokong Pakatan Harapan atau Kerajaan Perpaduan?

Komposisi Parlimen Sungai Petani menggambarkan Malaysia yang sebenar. Hal ini kerana Sungai Petani mempunyai 60 peratus masyarakat Melayu, 20 peratus (Cina), 15 peratus (India) dan lima peratus etnik lain termasuk Siam. Saya menyantuni setiap masyarakat di Sungai Petani dan perjuangkan konsep perpaduan serta Malaysia MADANI itu sendiri.

Saya ingin melihat sebuah masyarakat madani di Sungai Petani. Ini bermakna sebuah masyarakat yang bertamadun, mampu hidup dengan harmoni tanpa sebarang perpecahan serta meraikan kepelbagaian dari segi kaum dan budaya. Untuk mengembalikan kepercayaan pengundi, kita perlu meningkatkan kualiti hidup penduduk.

Ia meliputi aspek ekonomi terutamanya untuk anak muda. Parlimen Sungai Petani banyak membuat hab dan tempat berniaga khas untuk anak muda. Kami menghidupkan semula lorong-lorong gelap dengan memasang lampu dan melukis mural yang sesuai dengan jiwa anak muda. Ruang-ruang ini diberikan kepada mereka untuk dijadikan tempat berniaga.

Seterusnya kualiti pendidikan. Kami banyak memberi sumbangan dan bantuan daripada peruntukan khas yang diberi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pelbagai kerja pembinaan dan penambahbaikan infrastruktur sekolah telah dibuat. Selain itu, keharmonian dalam masyarakat menyumbang kepada kualiti hidup penduduk.

Saya menyantuni setiap lapisan masyarakat yang ada di Sungai Petani dan memperkenal dasar-dasar kerajaan. Saya juga memberi fokus kepada penyelesaian isu kesesakan lalu lintas memandangkan kawasan ini giat membangun dan menjadi hab perniagaan golongan muda.

Kedah kini menjadi kubu kuat pembangkang. Mampukah parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan merampas kembali sokongan rakyat? Bagaimana?

Memang betul ada yang beranggapan Kedah merupakan kubu kuat Perikatan Nasional (PN). Namun realitinya adalah rakyat Kedah semakin hari semakin tertanya-tanya apakah faedah yang dibawa kerajaan PN? Adakah dengan menjual sentimen agama dan perkauman semata-mata dapat menstabilkan ekonomi dan mempertingkat kualiti hidup rakyat?

Ini merupakan persoalan penting dan saya melihat kerajaan PN tidak mampu memberikan yang terbaik kepada rakyat Kedah. Lihat isu air dan banjir yang seperti tiada penghujungnya. Terdapat isu pembayaran gaji kepada syarikat-syarikat negeri yang terbantut, yang sememangnya mendatangkan kesusahan kepada rakyat.

Untuk menjawab pertanyaan sama ada kubu PN di Kedah mampu dirobohkan, saya percaya dan yakin dengan syarat pemimpin Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) perlu memberikan kepimpinan dan pentadbiran alternatif yang lebih baik termasuk pelan-pelan ekonomi.

Kedah merupakan negeri dinamik dari segi pemilihan kerajaan. Dahulu rakyat memilih BN dan kemudiannya bertukar kepada PAS. Selepas itu kembali kepada BN dan sekarang PAS. Jadi tidak mustahil untuk rakyat Kedah memilih kerajaan negeri yang baru.

Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), wajarkah muka-muka lama PH khususnya yang tewas dalam PRU15, dikekalkan?

Muka-muka senior PH yang berada di Kedah mempunyai kelebihan dan kredibiliti tersendiri. Mereka kalah mungkin kerana sentimen dan bukannya kerana kemampuan mereka. Wajar untuk ahli-ahli politik lama ini meneruskan perjuangan mereka. Pada masa sama kita tidak boleh menolak kepentingan memberi peluang dan ruang kepada pemimpin baru terutama golongan muda lebih bertenaga dan mempunyai idea-idea baru untuk diketengahkan.

Seorang Ahli Parlimen pembangkang pernah menggelar YB sebagai ‘anak papa’ ketika YB mengemukakan usul isu penyorokan 180 tan beras di Dewan Rakyat. Boleh YB perjelaskan isu tersebut?

Walaupun bapa saya merupakan Yang Dipertua Dewan Rakyat, namun apabila berada di dalam Dewan Rakyat, saya menghiraukan pertalian kekeluargaan tersebut. Sebaliknya saya memilih bersifat profesional. Saya berharap Ahli Parlimen lain memandang kerjaya kita sebagai kerjaya profesional.

Bagi saya tindakan Ahli Parlimen yang cuba mengaitkan suatu keputusan itu sebagai keputusan berat sebelah adalah tindakan yang tidak profesional, apatah lagi apabila tindakan tersebut dibuat Ahli Parlimen yang sudah memegang kerusi tersebut untuk beberapa penggal.

Saya perlu mengingatkan keputusan mengemukakan usul tersebut merupakan keputusan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor, bukannya keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat. Ini bagi mengelakkan konflik kepentingan yang merupakan satu tindakan amat profesional.

Bercakap mengenai pentadbiran negeri Kedah. Memuaskan? Atau nama-nama besar yang kononnya diangkat menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah oleh PN hanya gah semasa berkempen?

Kualiti pemimpin yang ada di Kedah masih perlu dipertingkatkan. Kita boleh lihat cara isu air dan banjir ditangani di Kedah, yang mana masih banyak lagi kawasan menghadapi isu sebegini. Hal ini perlu dinilai semula oleh rakyat supaya mereka memilih pemimpin lebih berkualiti dan mampu memberi khidmat yang terbaik untuk rakyat.

Apakah isu-isu yang sehingga kini gagal ditangani dengan baik oleh kerajaan negeri Kedah?

Isu utama adalah isu air yang semakin lama semakin menjadi mimpi ngeri yang membelenggu rakyat khususnya ketika musim perayaan dan cuti persekolahan yang melibatkan anak perantauan pulang ke kampung. Saya sering mendapat aduan tentang isu air ini yang seperti tiada penghujungnya. Selain itu, isu berkaitan dengan kelestarian alam seperti pembalakan dan banjir juga merupakan isu hangat di negeri ini.

Untuk PRU16, YB akan bertanding DUN? Mungkin boleh diangkat sebagai calon Menteri Besar dalam kalangan anak muda?

Saya menyerahkan keputusan kepada kepimpinan tertinggi PKR untuk menentukan siapa yang seharusnya menjadi calon termasuk hala tuju parti serta gabungan yang akan menyertai parti kami.

Jangkaan parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan meneruskan momentum kerjasama menjangkaui PRU16?

Jika dilihat momentum pada masa ini, wajar untuk kita perkukuh gabungan dan kerjasama antara PH dan BN kerana setiap gabungan mempunyai kelebihan masing-masing. Namun apa yang lebih penting adalah gabungan ini wujud demi kebaikan dan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

PRU16 pastinya jalan sukar bagi Kerajaan Perpaduan untuk pembahagian kerusi. Apakah pembahagian itu perlu dilakukan dari sekarang? Apa penyelesaian terbaik bagi mengelak berlakunya saling memboikot antara satu sama lain?

Satu titik temu adalah penting dalam apa jua perbincangan dan persetujuan yang diadakan. Saya percaya bahawa kebijaksanaan yang ada pada kepimpinan utama parti gabungan pada hari ini akan membantu mencapai satu kata putus yang terbaik untuk rakyat. Selain itu, kerjasama ini perlu dimulakan dari sekarang supaya kesefahaman antara setiap parti dalam gabungan sudah tercapai menjelang PRU16. Hal ini akan membantu mewujudkan suasana kerjasama yang harmoni semasa PRU yang akan datang. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas