JAWATANKUASA Pasukan Petugas Pelancongan Labuan akan memberi tumpuan kepada beberapa perancangan pembangunan pelancongan bagi merancakkan semula sektor tersebut di Pulau Bebas Cukai.
Perbadanan Labuan (PL) dalam satu kenyataan memaklumkan satu mesyuarat dan sesi libat urus yang julung kali diadakan dipengerusikan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Ramlee Yatim akan menambah keanggitaan daripada pelbagai agensi dan ia turut diperkemaskan dengan mengambil kira bidang kuasa dan peranan agensi berkenaan.
“Tindakan penambahan keanggotaan berdasarkan kepada kepentingan dan peranan setiap agensi yang terlibat serta untuk memastikan perancangan pembangunan pelancongan dapat direalisasikan.
“Selain itu, penglibatan daripada para pengusaha pelancongan di Labuan turut diperlukan bagi mendapatkan cadangan dan idea bagi usaha memperkemaskan lagi cadangan dalam memacu semula sektor pelancongan di Labuan,” katanya.
Agensi itu berkata hasil daripada sesi tersebut, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa kekangan yang menyebabkan sektor pelancongan ini sukar dikembangkan.
“Antara isu tersebut adalah penerbangan keluar masuk, pengoperasian terminal feri, lapangan terbang dan pengendalian kenderaan sewa,” katanya. – WILAYAHKU