DUA penggal bergelar wakil rakyat bagi Parlimen Kluang, Yang Berhormat (YB) WONG SHU QI mahu melihat kawasan diwakilinya itu membangun, selaras dengan pengumuman kerajaan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Malah beliau juga beriltizam menjadikan Kluang sebagai kawasan sejahtera untuk didiami penduduknya, selain menyelesaikan pelbagai masalah terutama banjir kilat dan kesesakan lalu lintas.
Menjelang Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 pula, Kluang baginya perlu dipetakan menjadi salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Begitu antara iltizam beliau yang diceritakan melalui temu bual bersama wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED baru-baru ini.
Dilantik sebagai Pengerusi Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) sejak Jun 2024, bagaimana kemajuan dicapai oleh agensi itu dalam memperkasa bakat tempatan?
Program memperkasa bakat tempatan merupakan misi penting dalam setiap inisiatif TalentCorp. Antara kemajuan yang dicapai adalah kami memulakan pembangunan bakat sejak di bangku sekolah lagi. Untuk itu TalentCorp telah melancarkan Program ‘Rock the School’ yang menyasarkan pelajar sekolah menengah dan universiti. Tujuan utama kita hanya satu agar mereka lebih terdedah kepada dunia kerjaya masa depan.
Dengan anggaran 620,000 pekerjaan dijangka terjejas susulan impak penggunaan kecerdasan buatan (AI), bagaimana TalentCorp mampu memainkan peranan untuk mengurangkan impak tersebut atau membangunkan kemahiran pekerja agar bersesuaian dengan teknologi semasa?
TalentCorp telah diberi mandat oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim untuk memainkan peranan sebagai ‘think tank’ bagi Kementerian Sumber Manusia (KESUMA). Kami akan meneruskan kajian fasa kedua mengenai impak kecerdasan buatan, tenaga hijau dan pendigitalan terhadap tenaga kerja negara.
Laporan ini bertujuan membantu agensi kerajaan, industri dan pekerja kita menjangka langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengharungi cabaran teknologi masa hadapan.
Apa pengajaran utama yang YB peroleh melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan selama ini?
Dalam tempoh dua tahun ini, kami, parti-parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan perlu mencari faktor persekutuan terbesar, walaupun dalam keadaan yang paling mencabar, sekiranya kita mahu negara maju jaya.
Namun begitu, Kerajaan Perpaduan sering kali diuji dan berdepan pertikaman lidah sesama sendiri. Apakah ia dianggap normal atau begitulah amalan demokrasi apabila semua pihak terbuka memberikan pandangan masing-masing?
Negara kita kini berada dalam fasa perkembangan politik yang unik dalam sejarah. Apa yang berlaku sekarang merupakan ujian dan pengajaran berharga bagi generasi akan datang dalam membentuk sistem demokrasi negara.
Oleh itu, saya tidak melihat segala pertikaman lidah secara negatif, sebaliknya, ia merupakan pengalaman yang perlu kita pelajari untuk mematangkan sistem politik kita pada masa hadapan.
Baru-baru ini kerajaan mengumumkan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) susulan lawatan rasmi Perdana Menteri Singapura, Lawrence Wong ke Malaysia. Bagaimana manfaatnya bagi kawasan Kluang?
Walaupun Parlimen Kluang tidak termasuk dalam Zon Ekonomi Khas JS-SEZ, kami tetap akan menerima manfaat limpahan ekonomi dari zon tersebut.
Industri-industri yang kurang sesuai untuk JS-SEZ dari segi kos operasi atau faktor lain akan mencari lokasi alternatif.
Oleh itu, Kluang merupakan salah satu kawasan yang akan terima manfaat memandangkan kami adalah bandar sekunder paling dekat dengan JS-SEZ.
Kluang merupakan antara kawasan di Johor yang sering terlibat banjir termasuk banjir kilat. Bagaimana Kluang hendak maju seiring dengan JS-SEZ jika masalah banjir tidak mampu diselesaikan secara konsisten dan lestari?
Faktor banjir bukanlah halangan utama kepada perkembangan kawasan Kluang atau JS-SEZ. Walau bagaimanapun isu banjir perlu ditangani melalui projek tebatan banjir berkonsep bandar span supaya harta rakyat kita dilindungi.
Baru-baru ini Menteri Besar, Datuk Hafiz Ghazi berkata Kerajaan Negeri Johor akan memastikan masalah ‘tidak cukup’ air yang berlaku di Johor termasuk daerah Kluang tidak lagi berulang. Apa cadangan atau pandangan YB dalam isu ini?
Sebenarnya, isu bekalan air di Parlimen Kluang telah diselesaikan melalui pengoperasian loji rawatan air (LRA) Kahang. Namun beberapa kawasan tinggi di sekitar bandar Kluang masih mengalami masalah bekalan air akibat tekanan air, terutamanya pada musim perayaan.
Untuk menyelesaikan masalah ini, kerajaan negeri perlu membina menara tangki baharu dan penggantian aset air lama.
Bagaimana pula dengan isu kesesakan yang kerap berlaku di pusat bandar Kluang, khususnya di persimpangan Jalan Ayer Hitam, Jalan Mengkibol, Jalan Station dan Jalan Mersing? Sudahkah ia diatasi sebaik-baiknya?
Isu kesesakan lalu lintas dijangka timbul semasa pembangunan bandar yang serentak dengan fenomena peluasan kawasan bandar. Masalah ini tidak akan diselesaikan selagi kita mengizinkan fenomena tersebut berlaku.
Sebagai wakil rakyat yang prihatin terhadap isu-isu bandar, saya berpendapat kita perlu memberi tumpuan kepada pemanfaatan sepenuhnya taman perumahan, infrastruktur dan bangunan awam di pusat bandar yang masih tidak digunakan secara optimum.
Akhirnya, bagaimana persiapan Kluang dalam aspek Tahun Melawat Malaysia 2026? Apa yang hendak ditonjolkan Kluang sebagai destinasi pelancongan?
Selain usaha Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Kluang dalam menyenaraikan tempat-tempat pelancongan di Kluang, pejabat saya juga telah memulakan kerja penyediaan maklumat sejak 2021.
Kami akan mempamerkan semua maklumat ini melalui terbitan cetak dan digital. Sebagai contoh, Kluang sebuah bandar sekunder yang dekat dengan alam semula jadi iaitu Gunung Lambak terletak tepat di tengah-tengah pusat bandar. Kami telah mencetak risalah yang memperkenalkan flora, fauna dan haiwan liar di Gunung Lambak. -WILAYAHKU