Wawancara

Membangun ekonomi, pendidikan Orang Asli

MANOLAN (kanan) menyantuni anak-anak Orang Asli di Kampung Orang Asli Kelinsing‚ Sepang‚ Selangor ketika perasmian Kampung Angkat MADANI Kementerian Komunikasi.
- Diterbit 28 Mac 2025 10:00 AM MYT
DILANTIK sebagai Ahli Dewan Negara pada 2018 kemudiannya lantikan semula pada 2023, Yang Berhormat (YB) Senator MANOLAN MOHAMAD mewakili masyarakat Orang Asli di ‘August House’ (Parlimen) bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya. Bagi beliau, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki bagi meningkatkan taraf hidup masyarakat Orang Asli. Dalam sektor pendidikan, contohnya, beliau mahu kerajaan menekankan kepada aspek kemudahan pendidikan yang mencukupi selain mengurangkan kadar keciciran.

Kepada wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau turut berkongsi rasa kagum dengan semangat Orang Asli yang kini bijak menggunakan media sosial dalam mengembangkan perniagaan.

Sebagai wakil masyarakat Orang Asli, bagaimana YB melihat perkembangan dan kemajuan mereka dalam aspek ekonomi serta pendidikan?

Orang Asli di Malaysia masih memerlukan perhatian dan pembelaan lebih serius daripada kerajaan.

Walaupun terdapat beberapa inisiatif dan program dilaksanakan untuk membantu masyarakat Orang Asli, masih banyak ruang perlu diperbaiki. Dari segi ekonomi, Orang Asli masih hidup dalam kemiskinan. Kerajaan perlu melaksanakan program pembangunan ekonomi yang berkesan termasuk latihan kemahiran, bantuan kewangan dalam pertanian, pengiktirafan tanah adat mereka agar tidak diceroboh dan peluang pekerjaan di dalam kerajaan seperti termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan Perkara 8(5)(C).

Antara cabaran lain adalah isu pemilikan tanah di mana Orang Asli berdepan masalah hak milik tanah yang secara langsung menjejaskan kestabilan ekonomi mereka. Terdapat juga halangan dari segi persaingan dan kekurangan ilmu perniagaan merangkumi strategi pemasaran moden dan teknologi digital menyukarkan mereka untuk berkembang. Ini kerana majoriti penempatan Orang Asli jauh di pedalaman yang mana komunikasi adalah sangat terbatas dan tiada capaian Internet.

Pembangunan pendidikan yang berkualiti masih terhad di kebanyakan kawasan Orang Asli. Kerajaan perlu memastikan kemudahan pendidikan yang mencukupi, guru yang terlatih dan program sokongan yang sesuai untuk meningkatkan tahap pendidikan.

Bagi pandangan YB, apakah nasib Orang Asli di negara ini terbela?

Bagi memastikan masyarakat Orang Asli dapat menikmati pembangunan yang menyeluruh dan inklusif, kerajaan perlu memberi perhatian kepada perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan seperti hak dan pewartaan tanah. Masyarakat Orang Asli menghadapi ancaman pencerobohan tanah. Keadaan menjadi bertambah buruk apabila kekurangan pengiktirafan terhadap tanah adat menyebabkan kehilangan tempat tinggal dan kemusnahan sumber ekonomi serta sumber alam. Ini dapat ditangani melalui mempercepatkan proses pengiktirafan tanah adat melalui pewartaan tanah. Melalui pewartaan tanah ini, masyarakat Orang Asli boleh mengusahakan tanah untuk pertanian dan perumahan dengan selamat tanpa gangguan. Kerajaan perlu lebih tegas dalam mengawal eksploitasi tanah kawasan penempatan Orang Asli oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Penyakit malnutrisi dan jangkitan parasit masih berleluasa. Ini berlaku disebabkan kekurangan akses kepada klinik dan hospital. Kekurangan bekalan air bersih masih menjadi permasalahan terutamanya di perkampungan pedalaman seperti di Hulu Tembeling, Hulu Perak, di pedalaman Gua Musang dan Ulu Jelai Pahang.

Wakil-wakil Orang Asli dalam kerajaan dan pentadbiran pun masih kurang. Ini dapat diatasi sekiranya kerajaan menambah wakil Orang Asli dalam Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seterusnya mereka terlibat dalam proses penggubalan dasar.

Apa perkara utama yang dibincangkan YB dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tahun lalu?

Saya bersama beberapa pemimpin masyarakat Orang Asli mengadakan perjumpaan bersama Perdana Menteri pada 14 Oktober 2024. Banyak perkara yang kami lontarkan antaranya menyediakan dana khas diberikan kepada kerajaan negeri untuk kos pengukuran tanah Orang Asli untuk proses pewartaan, isu perumahan khususnya untuk anak muda, pembinaan pusat intelek untuk pelajar Orang Asli, perjawatan di dalam Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan banyak lagi.

Pandangan YB mengenai peruntukan RM380 juta menerusi Belanjawan 2025 terhadap pembangunan Orang Asli?

Secara keseluruhannya peruntukan RM380 juta ini mencerminkan komitmen yang tinggi Kerajaan MADANI dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat Orang Asli melalui pendidikan, pembangunan ekonomi dan penyediaan infrastruktur asas yang lebih baik. Antara program-program yang dilihat mampu menaik taraf kehidupan Orang Asli adalah melalui pembangunan semula ladang-ladang Orang Asli, membina rumah melalui EPIC Homes, menyediakan bekalan air bersih, menyediakan bekalan elektrik dan pembangunan pemetaan kawasan cerun yang berisiko tinggi di perkampungan Orang Asli.

Apa lagi ruang atau sektor yang perlu kerajaan fokuskan bagi pembangunan Orang Asli?

Sektor kebajikan dan kesihatan juga menjadi aspek yang amat penting untuk dilihat. Program bantuan sosial berupa kewangan dan makanan asas bagi golongan miskin tegar dan mana-mana yang memerlukan. Selain itu, klinik kesihatan bergerak juga perlu diperluaskan ke seluruh negara bagi memastikan masyarakat Orang Asli mendapat rawatan yang diperlukan serta imunisasi untuk langkah pencegahan. Masyarakat Orang Asli juga perlu dilibatkan dalam penggubalan dasar melalui penyertaan mereka dalam keputusan kerajaan. Ini dapat mewujudkan platform untuk masyarakat Orang Asli terlibat dalam proses perancangan dan pelaksanaan dasar pembangunan.

Aspek lain yang perlu dilihat adalah pemeliharaan budaya dan identiti. Kepelbagaian budaya dan etnik Orang Asli yang terdiri daripada 18 etnik minoriti mampu dipromosikan melalui program pemuliharaan bahasa, seni dan adat resam melalui pameran dan festival-festival kebudayaan.

Penekanan harus diberikan kepada pembangunan infrastruktur dan juga perumahan. Projek rumah mesra rakyat perlu diperluaskan dengan rumah binaan reka bentuk khas untuk Orang Asli. Tidak ketinggalan juga kemudahan asas yang masih tidak lengkap. Kerajaan melalui agensi berkaitan perlu memastikan semua perkampungan Orang Asli mempunyai kemudahan asas yang lengkap seperti elektrik, air bersih, jalan raya dan kemudahan telekomunikasi.

Tahun lalu semasa Kongres Ekonomi Bumiputera, Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor mencadangkan kerajaan membuka sekurang-kurangnya lima peratus kuota kemasukan pelajar Orang Asli ke MRSM dan SBP. Bagaimana YB melihat cadangan ini?

Cadangan pembukaan kuota khas pelajar Orang Asli untuk kemasukan ke MRSM dan SBP dilihat permulaan yang baik. Ini adalah langkah permulaan yang boleh disesuaikan bergantung kepada keperluan dan keberkesanan program. Ia juga boleh disesuaikan mengikut jumlah permohonan dan kadar kelayakan calon setiap tahun. Antara langkah awal yang boleh diambil ialah dengan menyediakan laluan khas seperti program persediaan akademik bagi membantu pelajar menyesuaikan diri dengan sistem pembelajaran MRSM dan SBP.

Dalam perjalanan Dewan Negara, masyarakat seolah-olah memandangnya tidak begitu penting. Dewan Negara sering dianggap sebagai ‘rubber stamp’. Pandangan YB?

Pandangan bahawa Ahli Dewan Negara berfungsi sebagai ‘rubber stamp’ sering dikaitkan dengan hakikat bahawa majoriti anggotanya dilantik oleh kerajaan yang memerintah. Ini menjadikan mereka cenderung untuk menyokong dasar kerajaan tanpa perdebatan yang kritikal. Di Dewan Negara perbahasan lebih berfokus kepada Rang Undang-Undang (RUU) dibentangkan menteri. Perbahasan dan intipati perbahasan lebih berfokus kepada isu rakyat dan negara. Dewan Negara sebenarnya boleh menangguhkan sesuatu RUU atau menolak sesuatu RUU yang pada hemat Ahli Dewan Negara perlu dirujuk semula ke Dewan Rakyat untuk membuat pindaan sekiranya ia bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan atau disebabkan perkara tertentu. Justeru, yang mengatakan bahawa Dewan Negara sebagai ‘rubber stamp’ adalah tidak benar. Ada juga, ahli Dewan Negara yang dipilih secara demokratik di dalam DUN masing-masing.

Pada pandangan YB, wajarkah pilihan raya untuk memilih anggota Dewan Negara diperkenalkan?

Pilihan raya memberi rakyat hak terus memilih wakil mereka di Parlimen melalui Dewan Rakyat manakala Dewan Negara adalah dewan yang tertinggi di Parlimen selepas Yang di-Pertuan Agong. Maka untuk mengadakan pilihan raya bagi pelantikan ahli Dewan Negara adalah bukan sesuatu yang mudah.

Ia akan menyebabkan pertindihan fungsi dan peranan semak dan imbang di kedua-dua dewan ini.

Dengan mengadakan pilihan raya untuk memilih Senator boleh mengakibatkan dan memerlukan peruntukan kewangan besar melalui penyediaan logistik, kempen dan proses pengurusan pilihan raya. Sedangkan sumber ini boleh digunakan untuk sektor lain seperti pendidikan, kesihatan dan sebagainya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas