KETUA Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar di dalam majlis amanatnya pada 10 September lalu memberi penekanan bahawa telah tiba masanya perkhidmatan awam Malaysia bersedia mempertingkat keberkesanan dan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat dan negara. Aspirasi Malaysia MADANI di bawah kepimpinan Perdana Menteri mengajak segenap rakyat dan seluruh jentera kerajaan untuk mengangkat martabat negara dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara hebat di dunia.
Sudah pasti, perkhidmatan awam Malaysia selaku jentera penggerak negara perlu mempertingkat kapasiti dan kompetensi demi mengizinkan segenap aspek dalam negara dipacu ke arah yang betul.
Acap kali perkhidmatan awam Malaysia dihambur pelbagai kritikan tentang isu-isu berkait dengan hambatan keberkesanan, kerenah birokrasi, masalah integriti, kecekapan urusan kaunter dan proses-proses yang mengambil masa terlalu panjang. Rakyat dan pemain di pelbagai sektor dalam negara melihat isu-isu ini sebagai kekangan utama yang sinonim dengan perkhidmatan awam Malaysia.
Selaku KSN baharu, beliau mengakui wujud kelemahan ini. Beliau melihat kritikan yang dilempar pelbagai pihak sebagai suatu perkara serius yang perlu diambil tindakan segera.
Justeru menjadi tekad beliau selaku penjawat awam nombor satu agar perkhidmatan awam Malaysia serta-merta melaksanakan reformasi secara menyeluruh. Strategi yang digariskan beliau amat jelas. Ia praktikal dan bukan retorik berasas slogan semata-mata. Perkhidmatan awam harus keluar daripada kepompong keselesaan dan perlu memperbaiki secara menyeluruh sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.
Semangat jiwa merdeka yang dilaungkan sempena sambutan Hari Kemerdekaan baru-baru ini harus menjadi pembakar semangat untuk merdeka daripada sikap serta perlakuan negatif yang membelenggu diri dan organisasi. Kini masanya seluruh perkhidmatan awam untuk melangkah lebih jauh dan terbang lebih tinggi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim acap kali menghargai sumbangan dan kerjasama penjawat awam yang banyak membantu mempertingkat pencapaian negara. Ini kerja berpasukan yang membolehkan martabat negara diangkat demi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.
Lebih mencabar adalah bagaimana untuk memastikan peningkatan dan pencapaian tinggi ini kekal berterusan. Sudah pasti ia memerlukan komitmen dan usaha berpasukan kepimpinan negara, rakyat jelata dan perkhidmatan awam.
Perkhidmatan awam perlu segera melaksana reformasi secara menyeluruh dengan kadar peningkatan kualiti yang munasabah. Dunia bergerak pantas dan untuk menjadi perkhidmatan awam yang mampu menyesuaikan perubahan, memerlukan tindakan daripada peringkat kepimpinan organisasi sehingga kepada jentera pelaksana.
Penjawat awam perlu bersedia mendepani pelbagai gelombang yang sedang dan bakal melanda. Teknologi berkembang pesat dengan penguasaan kecerdasan buatan (AI) yang menuntut peningkatan kemahiran berkaitan. Tahun 2025 Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN yang memerlukan perkhidmatan awam bersedia mempertingkat kapasiti dan kompetensi bertaraf dunia.
Pelaburan asing yang berjaya diyakinkan oleh Perdana Menteri untuk melabur di tempat kita amat memerlukan perkhidmatan unggul jentera kerajaan. Rakyat menjangkakan skim baharu perkhidmatan awam yang menyaksikan kenaikan gaji penjawat awam turut diterjemahkan kepada perkhidmatan yang berkesan.
Cabaran-cabaran ini adalah realiti yang perlu dihadapi oleh seluruh jentera perkhidmatan awam. Apabila Tan Sri Shamsul Azri mengajak seluruh penjawat awam membantu beliau melaksana tanggungjawab ini, ia perlu disambut dengan serius. Amanah berkhidmat untuk negara adalah suatu usaha murni yang memberikan peluang kepada semua penjawat awam menyemai bakti dan menabur budi kepada negara.
Sejajar sambutan Hari Malaysia ke-61 pada 16 September lalu, semua penjawat awam wajar mencermin kembali ekspektasi rakyat terhadap perkhidmatan awam Malaysia. Agenda pembangunan negara memerlukan kerjasama erat di antara rakyat dan kerajaan demi perpaduan dan kemakmuran.
Sektor awam dan swasta saling melengkapi untuk memacu pertumbuhan seperti dirangka dalam strategi ekonomi MADANI. Kepimpinan negara dan penjawat awam adalah pasukan yang perlu bergerak seiring dengan pantas dan berkesan untuk menjayakan aspirasi Malaysia MADANI baik di peringkat persekutuan, negeri, daerah dan komuniti dalam setiap lokaliti. Kebersamaan ini amat relevan sejajar cogan kata Bersekutu Bertambah Mutu sempena Hari Malaysia yang terpahat megah pada jata negara.
Apabila KSN mengajak setiap penjawat awam menghayati setiap prinsip Rukun Negara, beliau memperingatkan bahawa perkhidmatan awam harus menyedari peri penting ketaatan dan kesetiaan terhadap negara bertuah ini. Justeru beliau memilih untuk memperingat seluruh jentera perkhidmatan awam dengan identiti #TaatSetia agar seluruh penjawat awam menjaga amanah ini sebagai suatu tanggungjawab penting kepada negara.
Tahniah kepada seluruh penjawat awam, anda insan terpilih yang diberi kesempatan dalam kehidupan ini untuk menyumbang bakti kepada negara dalam bidang masing-masing. Selamat Hari Malaysia, kepada semua penjawat awam, andalah tonggak memacu kemakmuran negara.
PENULIS Khairil Hilmi Mokhtar merupakan Penganalisis Keselamatan Geo-Strategik.
(Foto: Jabatan Penerangan Malaysia)