DILANTIK sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Labuan yang baharu, MOHD SUKURAN TAIB kini memegang tugas dan tanggungjawab untuk mengembalikan nama Labuan sebagai destinasi pelaburan utama.
Memiliki pengalaman luas dalam perancangan bandar selama 29 tahun, anak jati Kelantan ini melihat Labuan memiliki banyak peluang untuk dibangunkan, baik dari segi ekonomi mahupun pelancongan.
Hadir dengan Rancangan Struktur Labuan (RSL) 2040, walau bagaimanapun Labuan baginya perlu segera menyelesaikan isu-isu setempat terutama berkaitan bekalan air.
Kepada wartawan Wilayahku, AINI MAWAWI, SERIMAH SALLEHUDDIN dan METRA SYAHRIL MOHAMED, beliau turut berkongsi visi untuk memugar semula Labuan.
Labuan sebelum ini diisytiharkan sebagai Pulau Bebas Cukai pada 1 September 1956 dan Pusat Kewangan Antarabangsa pada 1990. Namun Labuan kini dilihat seakan-akan lesu. Keadaan di Labuan masih lagi daif, dari pelbagai aspek, terutama isu air. Bagaimana pandangan Perbadanan Labuan mengenai isu ini?
Perbadanan Labuan sangat komited untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat itu sendiri. Sudah tentu pelbagai usaha yang kita ambil untuk memastikan dari segi infrastruktur dan kemudahan awam di Labuan itu dapat disediakan. Bertitik tolak daripada itu, sudah tentu banyak peruntukan kita mohon di peringkat Persekutuan dalam memastikan infrastruktur dan utiliti di peringkat Labuan itu dapat ditingkatkan.
Memang saya akui masih ada isu bekalan air di Labuan itu dalam konteks gangguan-gangguan bekalan air apabila berlaku kerosakan kepada sistem perpaipan ataupun fasiliti paip itu sendiri.
Isu ini menjadi perkara utama di mana di peringkat Persekutuan telah meluluskan RM454 juta bagi tempoh lima tahun untuk membaiki dan menaik taraf bekalan air di Labuan.
Kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bekalan air di Labuan sepanjang 106.7 kilometer (km) dan fasa satu sudah siap 35 peratus, lebih kurang dalam 37 km sudah dinaik taraf. Dengan infrastruktur yang sedang dinaik taraf dan dari segi kemudahan-kemudahan yang telah dirancang untuk dibaiki, saya jangkakan bahawa keadaan di Labuan akan dapat ditingkatkan dari segi infrastruktur dan kualiti hidup.
Dari segi bekalan elektrik, kalau lihat penggunaannya masih mencukupi dengan janakuasa sedia ada dengan dua projek ladang solar termasuk di Kampung Bukit Kalam. Maknanya dari segi jumlah penghasilan tenaga elektrik di peringkat Labuan itu mencukupi untuk digunakan.
Dalam konteks meningkatkan ekonomi di Labuan, sejak Covid-19 ia memang agak lesu. Apabila saya dilantik ke Perbadanan Labuan, antara hala tuju saya ialah meningkatkan pelancongan. Sebab itu pelancongan menjadi hala tuju baharu untuk memastikan ada aktiviti-aktiviti yang boleh kita tarik pengunjung di Labuan.
Bagaimana dengan statistik kemasukan pelancong ke Labuan? Apa sahaja Labuan mampu tawarkan dan bagaimana Labuan boleh setanding dengan pulau-pulau pelancongan lain khususnya Langkawi? Nama Labuan agak jarang didengari sebagai destinasi utama pelancongan.
Kita sedang menyediakan blue print pelancongan Labuan. Ia dijangka siap bulan depan. Ini akan menggariskan langkah dan tindakan-tindakan meningkatkan lagi pembangunan pelancongan di Labuan. Melihat kepada statistik jumlah pengunjung yang datang ke Labuan, pada 2024 ada 1.1 juta pelancong dan juga orang yang berulang-alik ke Labuan. Pada 2023 iaitu 1.2 juta orang pelancong dan 2022 (966,387 orang).
Dengan cadangan enam event utama iaitu Sambutan Hari Wilayah; Labuan International Sea Challenge (LISC) pada 22-27 April; Borneo Flora Festival pada Julai; Borneo Art Festival (Ogos); Merdeka Trophy Day dan Labuan Remembrance Day, ia dijangka menarik jumlah pengunjung.
Borneo Flora Festival contohnya mampu menarik 50,000 pengunjung. Daripada enam event itu, kita ada 40 program sampingan.
Saya jangka ada peningkatan 10-15 peratus daripada jumlah kedatangan pelancong untuk tahun ini. Untuk memastikan hala tuju pelancongan ini berjaya, pelbagai promosi telah kita buat, pelbagai tindakan-tindakan di samping kerjasama antara agensi termasuk meningkatkan connectivity. Salah satu usaha yang akan berjaya nanti adalah perkhidmatan feri Labuan-Kota Kinabalu yang akan mendapat kelulusan kerajaan negeri Sabah.
Kita harap Mei atau Jun ini, perkhidmatan feri berkenaan akan dapat dijayakan.
Aspek penting dalam ekonomi yang mampu atau berpotensi dibangunkan di Labuan, selain sektor gas dan minyak?
Seperti digariskan menerusi pelbagai dokumen perancangan, daripada Labuan Blue Print sehingga kepada RSL 2040 yang telah disiapkan, memang menggariskan sektor gas dan minyak sebagai aktiviti ekonomi utama yang menyumbang kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Labuan. Saya memang tidak menafikan itu sebagai aktiviti utama ekonomi di Labuan.
Di samping itu juga, dari segi sebagai pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, itu masih lagi kukuh di Labuan. Di peringkat Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan (Labuan FSA) itu sendiri sedang memperkenalkan dari segi hab kewangan Islam. Maknanya di samping pusat kewangan luar pesisir antarabangsa, antara produk utama adalah untuk mengukuhkan hab kewangan Islam di mana saya rasa berbilion-bilion ringgit telah dikutip berdasarkan kepada cukai dan juga kos operasi daripada syarikat-syarikat yang berdaftar di Labuan menerusi Labuan FSA. Itu antara kegiatan ekonomi yang utama.
Saya ingin menarik perhatian kepada cadangan pelaburan oleh swasta, pertamanya untuk mengembangkan industri tuna di Labuan. Sekarang sudah ada, cuma ini yang boleh kita kembangkan lagi.
Kita usahakan melalui kerjasama Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia untuk melihat hala tuju industri tuna di Labuan. Di peringkat global, sebanyak AS$42 bilion dihasilkan melalui industri tuna dan dijangka melonjak AS$54 bilion pada 2032. Sebab itu saya melihat kepada usaha untuk Labuan mengambil peluang tersebut dan berpotensi menjadi hab tuna.
Ada juga cadangan daripada industri marin untuk bekerjasama dengan syarikat dari China iaitu membina sangkar ikan seluas 50 hektar di perairan Labuan. Ini satu lagi peluang untuk Labuan menambah nilai kepada sektor ekonominya.
Bagaimana dengan aspek pembangunan ekonomi setempat, contohnya ekonomi menjana penduduk? Perniagaan kecil-kecilan seperti ikan bilis/tuna? Industri makanan? Kraftangan?
Jika melihat kepada konteks skala kecil, kraftangan antara diberi perhatian bagi melengkapkan lagi produk pelancongan di peringkat Labuan.
Kita telah berjumpa dengan tiga persatuan kraftangan terbesar dengan penglibatan 27 penggerak kraftangan dan satu premis di Perbadanan Labuan akan dijadikan pusat untuk persatuan berkenaan mempamerkan produk kraftangan mereka.
Selain itu pengusaha juga boleh mendapat bekalan produk dari pusat disediakan. Kita juga sedang mengenal pasti dan akan mengiktiraf jenama tempatan, Lawa sebagai salah satu jenama produk yang terdapat di Wilayah Persekutuan.
Ini akan menjadi nilai tambah kerana kita ada jenama yang dikhususkan kepada produk Labuan.
Antara tarikan utama adalah batik linut yang menggunakan ambuyat sebagai medium percetakan batik.
Dalam konteks penjaja, perbandanan memberi keutamaan kepada peniaga kecil sebagai contoh ketika sambutan Hari Wilayah, kita melibatkan lebih kurang 300 penjaja. Mereka mendapat manfaat sepanjang tempoh seminggu acara berlangsung.
Kita mempunyai 40 lagi program yang boleh disertai penjaja kecil di Labuan.
Bagi bazar Ramadan saja, kita ada tujuh lokasi yang terletak di Labuan Walk, Anjung Selera Durian Tunjong, Kompleks Ujana Kewangan, Kolej Matrikulasi Labuan, Taman Mutiara, Taman Damai Kampung Layang-Layangan dan Lembaga Pertubuhan Peladang Labuan, Kampung Pantai.
Perancangan 10 tahun ini untuk Labuan? Apa yang hendak dibangunkan atau strategi supaya Labuan mampu menjadi pusat ekonomi dan pelancongan utama negara?
Apabila melihat keperluan jangka masa panjang, pihak perbadanan telah menggubal satu dokumen RSL 2040 yang menggariskan dasar-dasar strategi insiatif pelaksanaan dari 2025 hingga 2040.
Kita gariskan visi Labuan Sejahtera, Mampan dan Pintar, daripada visi tersebut, 23 dasar, 56 strategi dan 241 inisiatif pelaksaanan telah digariskan.
Ini akan menjadikan satu blue print perancangan dan dokumen panduan untuk hala tuju perancangan serta pembangunan Labuan sama ada selama 10 tahun atau untuk jangka masa panjang sehingga 2040.
Kita juga menggariskan lima tonggak pembangunan utama untuk memperkasa ekonomi Labuan. Langkah yang digariskan adalah menjadikan Labuan sebagai gerbang wilayah melalui pengukuhan hubungan fizikal sosial dan ekonomi.
Kemampanan mana-mana pembangunan yang kita gariskan hendaklah mematuhi syarat dengan garis panduan dan peruntukan akta.
Segala aktiviti ekonomi dan pembangunan hasilnya adalah untuk kesejahteran rakyat Labuan termasuk kemudahan prasarana.
Kita akan pastikan pembangunan infrastruktur yang dinamik, efisien dan sejahtera dilaksanakan ini termasuk pembaikan sistem perpaipan dalam tempoh lima tahun selain menaik taraf jalan.
Selain itu kita juga mendapat peruntukan untuk menaik taraf terminal jeti roro serta kajian kebolehlaksaan Jambatan Labuan-Menumbok.
Kita juga ingin meningkatkan pengeluaran makanan kerana Labuan masih lagi bergantung kepada bahan mentah seperti sayur-sayuran dari Sabah.
Semua itu akan ditingkatan dalam tempoh lima ke 10 tahun supaya Labuan dapat bertahan dan kebergantungan dapat diminimumkan.
Komen Perbadanan Labuan mengenai Labuan seakan-akan dipinggirkan dan lebih baik dikembalikan kepada Sabah? Perkara ini pernah disuarakan dalam Sidang Belia Wilayah Persekutuan baru-baru ini.
Saya rasa kenyataan itu tidak berasas, hampir empat bulan memegang jawatan sebagai CEO di Perbadanan Labuan, Kerajaan Persekutuan telah menyalurkan RM3 juta untuk melakukan kajian teknikal pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok.
Bermaksud Kerajaan Persekutuan tidak meminggirkan dari segi keperluan untuk pembangunan Labuan.
Sebanyak RM5 juta lagi digunakan untuk menaik taraf perkhidmatan feri roro bagi kemudahan 885,000 penduduk yang berulang-alik ke Labuan.
Dengan adanya pembangunan di Labuan dan keutamaan yang diberikan kepada infrastruktur, itu menunjukkan yang pembangunan itu memberi impak kepada pembangunan ekosistem dan ramai yang bakal mendapat manfaat daripada jumlah peruntukan diberikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa juga setiap bulan turun ke Labuan untuk memastikan segala arahan peruntukan dapat disalurkan dan dilaksanakan mengikut jadual untuk manfaat penduduk dan pembangunan Labuan.
Maka eleman dipinggirkan adalah satu perkara yang tidak benar sama sekali kerana bukti jelas dapat dilihat melalui pengagihan peruntukan daripada kerajaan.
Bagaimana dengan prospek pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok? Sejauh mana keperluannya dan apakah ia mampu meningkatkan ekonomi setempat?
Secara prinsipnya ia adalah satu cadangan yang sangat baik dan diperlukan penduduk Labuan selain komitmen kerajaan sendiri di mana telah meluluskan sejumlah RM3 juta untuk memastikan kajian feasibility study yang melihat kepada projek tersebut secara fizikalnya, teknikal dan keperluan sosial ekonomi sendiri. Jadi hasil daripada kajian ini nanti dapat membuktikan bahawa ia boleh dilaksana ataupun tidak melihat kepada sejauh mana kesan sosioekonomi Labuan.
Tetapi secara amnya saya melihat kepada apa yang berlaku di Pulau Pinang dengan pembinaan Jambatan Pulau Pinang dahulu. Kita melihat kesan selepas hampir 30 tahun pembangunan ekonomi Pulau Pinang semakin pesat. Saya rasa senarionya sama dan boleh berlaku di Labuan.
Maksudnya ada peningkatan kepada aktiviti ekonomi yang sudah tentu kesan kepada sosial sangat tinggi apabila masyarakat Labuan yang mempunyai keluarga di Sabah boleh berkunjung ke sana dengan mudah, bagi elemen kecemasan pula, contohnya apabila Hospital labuan tidak boleh menampung pesakit, maka boleh terus ke Hospital Kota Kinabalu.
Jadi secara dasarnya sangat positif cuma menunggu hasil kajian untuk memastikan ada direction baru daripada kerajaan sama ada melihat kepada keperluan membina jambatan tersebut dalam masa terdekat, sederhana atau panjang bergantung kepada keupayaan dan pengukuhan kewangan pada masa tersebut.
Rancangan Struktur Labuan (RSL) 2040 apakah ia mampu menjadi realiti? Di sebalik perancangan itu, apa intipati penting dalam memugar semula imej Labuan?
Dengan adanya dokumen tersebut ia boleh menjadi panduan yang kukuh kepada semua agesi untuk merancang pembangunan, infrastruktur berdasarkan kepada apa yang digariskan.
Lima tonggak yang telah kita gariskan iaitu pemerkasaan ekonomi, kemampanan pembangunan, kesejahteraan masyarakat, prasarana makmur, pematapan tadbir urus dan terdapat strategi-strategi untuk menjadikan labuan sebagai pusat penyelenggaran dan baik pulih kapal.
Terdapat juga cadangan Pembangunan Pelabuhan Labuan Bersepadu, semua cadangan tersebut telah digarsikan dalam dokumen dan menjadi tanggungjawab kepada agensi-agensi berkaitan untuk ambil perkara ini dan mohon peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Lima Tahun (RMLT) bergantung kepada perancangan setiap agensi itu sendiri.
Apakah prasyarat bagi mencapai matlamat RSL 2040?
Kita telah muktamadkan dan masa ini sedang dalam untuk mewartakan apabila melalui penyediaan di bawah Akta 172, mana-mana rancangan struktur atau kemajuan yang telah disediakan perlu diwartakan untuk diguna pakai di peringkat agensi. Jadi apabila telah diwartakan ia perlu digunakan oleh semua agensi di peringkat Labuan termasuk Perbadanan Labuan.
Menjadi kewajipan kepada agensi-agensi apabila ingin menyediakan cadangan peruntukan untuk dikemukakan di bawah RMLT, ia menjadi prasayarat kepada Kementerian Ekonomi di mana permohonan bajet itu adalah berdasarkan kerangka yang telah kita gariskan.
Sebagai CEO baharu Perbadanan Labuan, sudah tentu ada tanda aras kejayaan yang mahu Tuan capai. Apa yang hendak Tuan lihat terhadap kejayaan dan kemajuan Labuan?
Apabila saya ditemuduga untuk menjawat jawatan ini, ada pelbagai perkara telah dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) antara perkara utama yang saya bawa apabila menjawat tugas ini adalah melihat kepada hala tuju pembangunan Labuan itu sendiri.
Kalau saya tidak boleh mengembalikan keagungan zaman minyak dan gas sepertimana 10 ke 15 tahun dahulu maka adalah hasrat untuk memastikan ada sumbangan saya untuk meningkatkan ekonomi Labuan seperti akan memberi penekanan kepada pembangunan sektor pelancongan yang sebelum ini saya rasa tidak dilihat sebagai satu sektor yang boleh memberi pendapatan kepada Labuan.
Untuk kita memugar semula bandar Labuan, kita memerlukan satu suntikan baharu seperti aktiviti pelancongan untuk menarik orang datang dan aktiviti perniagaan akan meningakat.
Selain itu melihat kepada peluang-peluang baharu untuk membawa pelabur datang yang melibatkan industri-industri berkaitan perikanan salah satunya tuna. Labuan dikelilingi pulau dan perikanan juga merupakan indstri yang sangat berembnag di sini. Cuma tidak diberi penekanan tidak diteroka untuk menjadi satu industri berdaya maju.
Industri perkapalan pula memberi pulangan yang lumayan, kita ada dua shipyard yang memberi perkhidmatan baik pulih kepada kapal-kapal perairan. Labuan menjadi satu tempat berlabuh untuk kapal kerana bayaran yang murah, jadi dengan mengambil peluang tersebut aktiviti kapal dapat dipertingkatkan, diperbesarkan shipyard dan menambahkan kapal yang boleh dibaiki. Saya menjangkakan sekiranya kerajaan meluluskan Pembangunan Pelabuhan Labuan Bersepadu pada masa akan datang akan memberi satu lagi game changer kepada Labuan. Satu lagi sudah tentu hasrat besar saya adalah untuk menjayakan dalam tempoh lima tahun dapat merealisasikan untuk memulakan pembinaan Jambatan Labuan-Menumbok bagi memastikan satu legasi yang boleh saya tinggalkan kepada penduduk Labuan. – WILAYAHKU