Oleh KU SEMAN KU HUSSEIN
ADA seseorang bertanya kepada saya, “Apa itu seni?” Saya menjawab dengan pantas, “Seperti lagu Tanah Pusaka ciptaan Ahmad Merican.” Lelaki yang berdiri di depan saya itu nampak terkejut, “Oh, lagu yang menambahkan cinta saya pada negara ini.”
Dia menghuraikan dengan agak panjang mengenai lagu Tanah Pusaka yang amat memukau perasaannya. Semasa berkelana dan melanjutkan pengajian di luar negara, lagu Tanah Pusaka membuatkan dia meronta-ronta untuk balik ke negara ini.
Katanya, dia seperti tidak tertahan-tahan untuk pulang menyedut keindahan dan kedamaian seperti yang diungkap dalam lirik yang disampai dengan melodi yang amat merdu. Dia mengakui tidak pernah menjadi begitu rindu pada tanah air hinggalah saat pertama kali mendengar lagu itu di Malaysia Hall, London.
Dia menyanyi perlahan baris lirik Tanah Pusaka dan saya menjangka sememangnya lagu itu meninggalkan kesan yang amat besar kepada jiwanya yang pernah berada jauh dari tanah air.
“Sungguh gemilang negeriku yang kupuja oh tanah airku di merata dunia harum semerbak namamu oh Malaysia.”
Bagaimanapun dia seperti tidak percaya lagu Tanah Pusaka itu sebuah seni kerana dia sebenarnya tidak suka seni. Malah seni baginya bukan untuk orang sepertinya. Seni pada kefahamannya amat memeningkan, malah sengaja menyulitkan orang seperti dia faham dan ikut menikmati.
Dia memahami bahawa seni itu suatu yang menyulitkan seperti lukisan atau teater abstrak, filem-filem yang bercorak avant garde dan tidak ketinggalan puisi-puisi kabur yang pernah menguasai dunia kesusasteraan tempatan tidak lama dulu. Maka, dia memprotes dengan menolak semua yang bernama seni selama-lamanya.
Bagaimanapun hakikatnya dia tidak menolak seni buktinya lagu Tanah Pusaka telah menggugah jiwanya.
Saya katakan kepadanya bahawa yang dilihat itu hanya salah satu sahaja daripada kepelbagaian bentuk atau genre dalam seni. Pada umumnya seni itu memberikan sesuatu yang indah berserta gagasan pemikiran yang amat memikat dengan syarat tidak bertentangan tuntutan agama dan norma budaya.
Bagi kita, agama dan norma budaya adalah garis yang membezakan kebebasan seni dalam pemahaman barat dengan seni yang terpimpin dengan nilai-nilai yang menjadi amalan masyarakat, khususnya Islam. Lesen kreatif yang diagung-agungkan tetap tidak boleh merentas garis agama dan budaya.
Sekalipun begitu agak malang kerana terdapat dalam kalangan orang tempatan yang mendakwa ‘orang seni’ memahami seni dari kaca mata barat hingga melanggar perkara yang digariskan oleh agama dan budaya. Dalam konteks tempatan, sesuatu yang bercanggah bukanlah seni yang mesti diraikan.
Saya ulangi, seni dalam konteks kita adalah seperti lagu Tanah Pusaka yang telah berjaya menggugah jiwa dan fikirannya. Seni itu dalam lembutnya juga yang mencabar kemampuan untuk mencari makna. Lalu saya cadangkan supaya dia juga mendengar lagu Wind of Change nyanyian kumpulan rock Scorpions.
Itu juga sebuah karya seni yang baik kerana cakna terhadap peristiwa besar abad ke-20 iaitu runtuhnya Tembok Berlin pada 1989. Bukan tembok itu yang menjadi isunya, tetapi itu adalah kesan keruntuhan sistem komunisme negara-negara blok Eropah Timur.
Sebagai seorang jurutera, saya percaya dia agak kurang cakna tentang geopolitik dunia. Lalu saya terangkan yang Wind of Change itu menyambut tatabaharu dunia bebas komunisme. Bagaimanapun itu bukanlah bermakna saya memurnikan kapitalisme yang juga buruk dan manipulatif sifatnya.
Inspirasi kehidupan
Seni adalah ekspresi kreatif yang terlahir dari fikiran, perasaan dan imaginasi yang kemudiannya dituangkan dalam bentuk yang dapat dinikmati oleh manusia lain.
Pembuat karya seni yang selalu disebut seniman itu menggunakan berbagai-bagai perantara atau medium seperti lukisan, ukiran, muzik, karya persuratan, filem dan teater.
Seni telah wujud sejak zaman purbakala, menjadi sesuatu yang melengkapkan perkembangan tamadun budaya manusia serta menggerakkan perasaan, memperkaya jiwa dan menginspirasikan kehidupan. Seni juga mencerminkan keragaman konflik kesenangan, penderitaan dan keajaiban yang pernah singgah pada kehidupan manusia lain.
Akhirnya dia bertanya adakah saya ‘orang seni’. Pertanyaan itu agak kelakar dan memberitahu dia bahawa saya hanya penikmat seni seperti juga kebanyakan orang lain. Hal itu bertepatan dengan sifat seni untuk dihayati oleh semua orang. Malah untuk memenuhi satu sudut di jiwa yang menempatkan ruang menikmati keindahan dan kedalaman seni.
Saya menekankan bahawa seni itu suatu insklusif terbuka untuk semua tanpa disempadani oleh darjat keturunan, agama, budaya dan garis geografi. Menjadi penikmat seni juga satu anugerah yang perlu dimanfaatkan kerana tidak semua mendapat keistimewaan itu.
Seni bukanlah sesuatu yang dimengerti oleh sebilangan kecil hanya untuk orang yang terdidik di bidangnya. Sifat seni yang sebenarnya adalah berupaya sampai kepada setiap jiwa tanpa mengerti apa-apa tentang bidang seninya. Tidak perlu bimbang untuk menikmati seni kerana ia bukan milik eksklusif golongan yang arif tentang sesuatu bidang seni.
Sebabnya seni itu berbagai-bagai, misalnya ukiran yang bermotifkan alam tumbuh-tumbuhan pada bingkai pintu atau mimbar masjid juga adalah sebuah karya seni. Ukiran itu sebagai karya seniman yakni pengukir mengungkapkan tentang alam budaya kehidupan kita, bunga-bunga atau dedaunan yang menjadi teman dalam kehidupan.
Karya-karya persuratan atau sastera kita juga sebahagian besarnya menggugah pemikiran dan mencambahkan semangat untuk mendepani halangan dan cabaran kehidupan dengan pemikiran yang besar. Itu juga sebahagian karya seni yang sewajarnya ditelusuri dengan ilmu dan pemikiran.
Dalam masyarakat maju dan bertamadun tinggi, seni berada di tempat yang tinggi dan golongan yang mengerjakan karya seni dihormati kerana ketinggian seni yang diperlihatkan kepada masyarakat. Golongan seniman diberi penghormatan lebih tinggi berbanding ahli politik. Hanya di negara-negara mundur sahaja yang menjulang orang politik lebih tinggi berbanding seniman.
Keupayaan menghayati karya seni berupaya meningkatkan empati dan pemahaman terhadap budaya serta nilai-nilai yang beragam. Selainnya berpeluang memahami sudut pandangan yang berbagai-bagai, seni menerapkan pengalaman serta realiti kehidupan yang mungkin tidak pernah kita alami secara langsung.
Akhirnya saya katakan kepadanya bahawa sekarang ini sudah banyak individu dari disiplin ilmu yang jauh daripada seni bukan sahaja meminati seni, malah menghasilkan karya seni. Mereka datang dari bidang seperti kejuruteraan, perubatan, pengajian Islam dan undang-undang. Hal itu menunjukkan seni itu untuk semua dan menikmati seni adalah salah satu daripada keperluan hidup.