Artikel

Melupus kenderaan buruk

Gambar hiasan
- Diterbit 19 Julai 2024 10:30 AM MYT

BERBAHAYA dan mencacatkan pemandangan. Ini pandangan kawan-kawan Kedai Kopi apabila melihat banyak kenderaan buruk ditinggal terbiar di banyak tempat di ibu negara, sama ada di kawasan taman perumahan, kawasan lapang, pinggir jalan dan sebagainya.

Ini menjadikan kawasan tersebut seolah-olah tempat buangan kenderaan buruk oleh pemilik yang tidak bertanggungjawab. Bagi mereka itu cara mudah melupuskan kenderaan yang sudah tidak boleh digunakan. Humban sahaja tanpa memikirkan masalah akibat perbuatan mereka.

Akhirnya pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang terbeban dengan kerja mengalih dan melupus kenderaan tersebut. Ini termasuk rancangan khas DBKL melaksanakan tindakan khas ke atas kenderaan buruk mengikut kawasan parlimen, bermula dengan kawasan parlimen Bandar Tun Razak.

Amat tidak wajar membebankan DBKL dengan tugas ini sedangkan pemilik asal kenderaan sesuka hati dan senang-lenang membiarkan kenderaan buruk tersadai di merata tempat. Kelihatannya seperti tukun tiruan, bezanya ia di darat bukan lautan.

Perlu diingat kenderaan buruk ini berbahaya kepada pengguna jalan atau penduduk setempat, terutama jika kenderaan tersebut berada di kawasan sukar dilihat atau pada waktu malam. Ia boleh menyebabkan pemandu melanggar kenderaan berkenaan.

Risikonya sangat tinggi dan boleh mendatangkan kecederaan. Bayangkan jika besi tajam kenderaan buruk ini atau kaca cermin tertusuk ke badan. Pastinya akan mendatangkan kecederaan parah selain merosakkan kenderaan.

Sementara kita memuji langkah DBKL melupuskan kenderaan buruk ini, pemilik asal mesti dipertanggungjawabkan. Mungkin boleh dikesan pemilik berkenaan jika pada kenderaan itu masih ada nombor pendaftaran. Jika dapat dikesan, arahkan mereka lupuskan sendiri. Atau kenakan penalti serta bayaran sebagai ongkos DBKL melupus kenderaan berkenaan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas