Berita

MEKAR Diaspora JPN di Arab Saudi berjaya urus 240 perkhidmatan kepada rakyat Malaysia

- Diterbit 9 Februari 2024 11:15 AM MYT

PROGRAM Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) Diaspora Arab Saudi yang berlangsung dari 1 hingga 6 Februari lepas berjaya menguruskan 240 perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara kepada 135 rakyat Malaysia yang menetap di negara itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara perkhidmatan dan nasihat yang ditawarkan ialah pembaharuan kad pengenalan, cabutan sijil lahir serta permohonan kewarganegaraan.

“Program MEKAR Diaspora akan terus ditambah baik dan dilaksana di lokasi  lain di seluruh dunia bagi memberikan khidmat melangkaui kebiasaan kepada rakyat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Program anjuran Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) itu diadakan sempena lawatan rasmi Saifuddin Nasution ke Arab Saudi iaitu MEKAR Diaspora, antara lima kategori Program MEKAR JPN yang menawarkan perkhidmatan dan nasihat berkaitan hal ehwal pendaftaran negara khusus bagi rakyat Malaysia di luar negara.

Beliau juga berkata peluasan program itu di luar negara melengkapi aspirasi Kerajaan Perpaduan yang sentiasa meletakkan keutamaan tertinggi terhadap kebajikan dan kemakmuran rakyat Malaysia yang tidak hanya terhad dalam negara.

“Ini termasuklah perihal pendaftaran negara yang merupakan asas kepada kemenjadian seorang rakyat Malaysia,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas