Fokus

Mekar Budaya angkat sasterawan negara

TEATER ini juga mengetengahkan mengenai ketuhanan dan kerohanian
- Diterbit 13 Oktober 2023 12:35 PM MYT

Oleh: DIANA AMIR
Foto: SHUAIB AYOB

MEKAR Budaya memanfaatkan Geran Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) 2023 yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dengan mengadakan pementasan Teater Saya… Dari Hujung Kota, baru-baru ini.

Menurut Penerbitnya, Mohd Nurul Hazirin, 41, naskhah tersebut dipilih bagi mengangkat semula karya-karya sasterawan negara, Datuk Noordin Hassan di mana karya-karyanya sering mencuit minda penonton dan melepaskan mereka untuk mencari jawapan seterusnya.

MOHD NURUL

“Selain memberi penghargaan kepada sasterawan negara, saya juga mahu beritahu penonton bahawa karya-karya seperti ini perlu dilihat, dibaca, diperhalusi dan difahami dengan lebih dalam untuk mengetahui setiap mesej serta isi hati yang hendak diluahkan oleh penulis.

“Kita faham ramai yang kurang gemar dengan naskhah berat kerana mereka datang menonton teater untuk berhibur dan bergelak ketawa namun naskhah Saya…Dari Hujung Kota ini tidak hanya menyajikan itu malah ia turut memberi satu persepsi berbeza dan baharu terhadap fitrah kehidupan,” katanya yang lebih dikenali sebagai Along Hazirin.

Along Hazirin berkata naskhah yang diangkat pada kali ini lebih menyasarkan golongan pemikir dan tidak bersesuaian dengan kanak-kanak memandangkan cerita ini perlu dilihat dengan hati dan juga akal.

“Saya boleh katakan rata-rata penonton yang hadir adalah dalam kalangan pelajar, pengkritik serta penggerak teater di mana mereka lebih memahami pementasan ini seterusnya menjadikannya bahan kajian atau tugasan pembelajaran.

“Naskhah ini juga boleh dilihat dari pelbagai sudut dan persepsi yang boleh diterjemahkan namun kita tidak mengharapkan untuk penonton betul-betul mendalami maksud sebenar cukuplah sekadar mereka keluar daripada panggung sambil berfikir mengenai bait-bait skrip yang dilontarkan. Itu juga menunjukkan mereka dapat sesuatu daripada pementasan ini,” ujarnya lokasi Panggung Bandaraya dipilih kerana ia bertepatan dengan pementasan tersebut dan kemasukan adalah percuma.

Menyedari tanggapan masyarakat yang kurang menggemari ‘art berat’, Along Hazirin berkata pihaknya melakukan pelbagai usaha dalam menguar-uarkan mengenai pementasan Saya…Dari Hujung Kota ini.
“Dari peringkat awal lagi, pihak Mekar Budaya sering menguar-uarkan mengenai naskhah ini menerusi media sosial, bagaimana persembahannya dan serba sedikit bentuk di atas pentas agar penonton tahu ia bukanlah sebuah naskhah yang hanya perlu dilihat daripada aspek hiburan semata-mata,” jelasnya latihan telah berjalan selama sebulan.

Berkongsi mengenai perancangan Mekar Budaya pada masa akan datang, dia berkata pihaknya dalam usaha untuk mengangkat naskhah seniman negara yang dijangka akan dipersembahkan pada tahun hadapan.

“Terima kasih kepada pihak MOTAC yang telah mengeluarkan dana dalam membantu golongan penggerak teater. Ia memberi sinar kepada kumpulan teater yang besar dan kecil. Selama dua tahun pandemik golongan seperti kami tersekat kerana tidak boleh melakukan sebarang persembahan.

“Apabila diberikan insentif seperti ini ia sebenarnya menarik lebih ramai penggerak teater untuk berkarya sekali gus memberi hiburan kecil kepada masyarakat,” ujarnya.

Tambahnya, industri di Malaysia belum didominasi teater. Jadi, untuk terus mengharapkan dana hanya daripada kerajaan adalah sukar, penggerak teater sendiri perlu berusaha mencari.

“Kita boleh lihat kumpulan teater indie walaupun tidak mempunyai dana yang besar tapi mereka tampil dengan inisiatif mengadakan persembahan teater dalam bilik atau studio yang sempit namun sambutan yang diterima sangat menggalakkan,” ujarnya.

Untuk rekod, Mekar Budaya merupakan sebuah kumpulan kesenian yang bergerak secara aktif sejak 16 Ogos 2002 dalam aktiviti seni persembahan khususnya di Kuala Lumpur dan merupakan platform graduan seni persembahan untuk berkarya selepas menamatkan pengajian. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas