SEORANG mekanik dipenjara 40 bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana merompak sebuah motosikal, telefon bimbit dan wang RM100 milik seorang operator kilang, Oktober lepas.
Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman itu ke atas A.T.Richard, 31, yang mengaku bersalah atas pertuduhan tersebut dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 9 Dis lepas.
Tertuduh didakwa merompak seorang lelaki berusia 40 tahun di tepi Jalan Kuching, Sentul di sini pada 2 petang, 27 Okt lepas mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Sharizzat Amadan memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kepentingan awam serta kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.
Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia mengidap penyakit asma. – BERNAMA