Oleh ZULKIFLI SULONG
KEJADIAN buli siber, perjudian di atas talian, penipuan (scammer) dan penawaran perkhidmatan seks nampaknya semakin menjadi-jadi. Ia pula berlaku dengan pertolongan platform-platform media sosial yang ada di Malaysia.
Yang sedihnya, kerajaan yang memerintah negara ini tidak mempunyai kuasa untuk mengawal kejadian jenayah ini walaupun ia berlaku di bumi Malaysia yang mempunyai peraturan dan undang-undang sendiri untuk menjaga kepentingan rakyatnya. Mereka beroperasi di Malaysia tetapi tidak tertakluk kepada undang-undang negara ini.
Turut menyedihkan, mereka mengaut keuntungan beratus juta daripada operasi perniagaan yang dibuat di negara ini tetapi tidak ada satu sen pun cukai yang boleh dikenakan ke atas mereka.
Sebut saja, TikTok, Facebook, Telegram, YouTube, X atau apa sahaja, kesemuanya mempunyai operasi perniagaan di Malaysia dan mengaut keuntungan berjuta-juta. Tetapi Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak ada sebarang kuasa untuk mengutip cukai daripada pemilik platform ini ketika Makcik Kiah yang berniaga di tepi jalan pun terpaksa membayar pelbagai cukai.
Scam adalah antara yang paling sering dan kerap berlaku melalui platform ini. Antara mangsa scammer adalah seorang pakar motivasi dan doktor mata terkenal, Profesor Dr Muhaya Mohamad.
Wajah, nama dan mimik suara beliau digunakan untuk menjual ubat yang tidak diluluskan. Namun, apa tindakan platform media sosial ini untuk mengawalnya selepas aduan dibuat.
Bulan lepas, polis mendedahkan jumlah kerugian akibat scammer tahun 2023 sahaja ialah RM1.34 bilion dan RM2.3 bilion dari tahun 2021 hingga 2023 yang mana 20% daripadanya melibatkan warga emas.
Kita juga baru dikejutkan dengan kes buli siber melibatkan pempengaruh TikTok, A Rajeswary atau Esha yang akhirnya meninggal dunia dalam keadaan tragis. Pesalahnya hanya didenda RM100 dan bebas tanpa rasa penyesalan malah dilihat senyum gembira apabila dijatuhkan hukuman di mahkamah. Berapa banyak lagikah kes bunuh diri sebegini akan berlaku sebelum kita bertindak?
Yang menjadi isu sekarang adalah, hampir kesemua platform ini tidak merasa ada keperluan untuk melayan tuntutan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menurunkan kandungan yang berbahaya kepada masyarakat. Mereka tidak mahu berunding dan tidak mengambil serius tuntutan MCMC. Misalnya, gambar-gambar bedah siasat Zayn Rayyan masih terpampang di Telegram walaupun MCMC telah meminta untuk diturunkan.
Respons platform ini sangat lambat, mengambil masa lima hingga enam hari untuk menjawab bahawa tiada pelanggaran peraturan penggunaan. Dalam tempoh itu, bahan-bahan ini sudah pun viral.
“Keutamaan mereka adalah melayan tuntutan di negara-negara yang mempunyai undang-undang mengawal mereka, seperti di Indonesia. Pengguna mereka juga jauh lebih ramai. Malaysia ini hanya ‘celah gigi’ sahaja dari keseluruhan perniagaan mereka di seluruh dunia. Pengguna kita tak seramai di negara lain. Keuntungan mereka juga lebih besar di sana,” tulis seorang rakan saya.
Bagi beliau, adalah lebih baik jika kerajaan menyekat sementara platform ini, memaksa mereka ke meja rundingan dan membuat penambahbaikan segera untuk menangani masalah ini.
“Banyak negara sudah buat hal yang sama dan saya bersetuju Malaysia juga perlu laksanakan,” katanya.
Saya difahamkan, pihak berkuasa sudah berusaha pelbagai cara untuk meminta pemilik platform media sosial ini mematuhi peraturan dan undang-undang negara namun tindakan itu seumpama bercakap dengan lembu kenyang sahaja.
Sebenarnya, kematian Esha baru-baru ini akibat dibuli melalui platform-platform media sosial ini mencelikkan mata banyak pihak. Satu tindakan drastik perlu dilakukan.
Yang mengejutkan pula, hanya denda RM100 sahaja boleh dikenakan ke atas salah seorang pembulinya berdasarkan bukti yang ada dan boleh diperolehi oleh pihak berkuasa di Malaysia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil sendiri menyuarakan rasa kecewa dengan denda RM100 dikenakan terhadap seorang wanita yang terbabit kes buli siber pempengaruh TikTok.
“Saya kesal dengan denda yang kecil, tetapi saya difahamkan oleh Pejabat Peguam Negara bahawa hukuman dikenakan berdasarkan bukti yang diperoleh.
“Kita perlu mengkaji semula definisi buli siber dan apakah denda yang sesuai untuknya,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas menyampaikan ucaptama di KL Startup Summit 2024.
Secara khusus, Fahmi kecewa dengan platform media sosial seperti TikTok yang disifatkan tidak serius dalam menangani isu buli siber.
Menurut Fahmi, satu mesyuarat khas bakal diadakan dengan TikTok bagi meneliti secara mendalam berdasarkan aduan-aduan yang diterima.
“Pagi tadi saya ada menerima mesej daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan mengenai insiden ini dan sudah berbincang dengan Menteri Digital, Gobind Singh Deo. Beliau juga sudah bercakap dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berhubung kes ini.
“Jadi, kami sudah mencapai satu persefahaman kerana insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Saya sangat pilu menerima berita ini walaupun sudah berulang kali mengingatkan orang ramai supaya berpada-pada meninggalkan komen di media sosial.
“Dalam masa sama, kita perlu melihat aspek pengurusan media sosial yang mana saya sudah bercakap dengan pihak TikTok mengenai rasa pilu dan marah kami kerana platform media sosial ini dilihat tidak serius dalam menangani isu buli siber.
“Insya-Allah dalam beberapa hari akan datang saya sudah mengatur satu mesyuarat membabitkan pihak MCMC, TikTok, Jabatan Peguam Negara dan beberapa pihak lain untuk melihat secara terperinci berdasarkan aduan yang pernah diterima,” katanya.
Sampai bila rakyat Malaysia perlu terdedah dengan ancaman yang kita tidak boleh kawal ini. Saya yakin rakyat Malaysia sudah bersedia untuk menerima sebarang keputusan kerajaan yang sudah pasti dibuat untuk kepentingan negara dan rakyatnya.
INI sekadar pandangan penulis dan menyokong sepenuhnya agar kerajaan bertindak segera sebelum terlambat.