Biz

Media sosial platform ‘berkuasa’ pengguna

PERNIAGAAN menerusi media sosial adalah strategi tepat untuk komunikasi secara terus dengan pelanggan
- Diterbit 17 Mei 2024 12:30 PM MYT

PEREDARAN arus teknologi yang pantas masa kini menyaksikan media sosial mempunyai pengaruh luar biasa sekali gus membawa perubahan yang ketara dalam bidang perniagaan.

Pemasaran digital menjadi pilihan malah platform e-dagang menerusi pelbagai aplikasi media sosial seperti TikTok, Instagram dan Shopee dilihat sebagai salah satu medium berkuasa yang mampu menarik perhatian pelanggan.

Malah ketika negara dilanda pandemik COVID-19, kita dapat menyaksikan orang ramai mula beralih kerjaya sebagai peniaga dalam talian dan sehingga ke hari ini ia merupakan platform yang pantas dan berkesan.

Perkara ini turut diakui oleh peniaga peralatan elektronik menerusi affiliate TikTok, Muhammad Faiq Izaan Alias bahawa perniagaan menerusi media sosial adalah strategi tepat untuk komunikasi secara terus dengan pelanggan.

“Perniagaan secara fizikal dan dalam talian kedua-duanya mempunyai kelebihan. Tidak dinafikan, ada jenis barang yang perlu didapatkan secara fizikal tetapi trend terkini dalam perniagaan adalah menjurus kepada bisnes dalam talian.

“Saya melihat perniagaan dalam talian adalah lebih kepada penjualan barangan lain yang sukar didapati di pasaran serta cara pembeliannya juga memudahkan masyarakat.

“Mereka tidak perlu pergi ke kedai sebaliknya hanya memerlukan telefon bimbit selain harga pula memang berbeza misalnya kalau secara fizikal kita dapat harga yang telah ditetapkan oleh pihak kedai tetapi dalam talian kita boleh memiliki baucar atau promosi penghantaran percuma mahupun sesi tawar menawar ketika sesi siaran langsung (live),” katanya.

Sungguhpun begitu, ramai yang mengakui bahawa perniagaan secara dalam talian ini sedikit sukar kerana ia memerlukan daya kreativiti yang tinggi terutama ketika melakukan penjualan serta ingin mendapatkan keyakinan pelanggan.

Justeru itu, Faiq yang berpengalaman dalam bisnes tersebut berkata strategi atau teknik penjualan dan pemasaran berkesan adalah penting untuk membantu para peniaga terus kekal berkembang dalam platform tersebut.

“Hendak kekal dalam platform ini bukan mudah misalnya seperti di TikTok, jika kita mahu orang mengenali barang kita, maka perlu buat siaran live atau konten baharu setiap hari supaya ia boleh naik di paparan skrin orang ramai (fyp).

“Selain itu, para peniaga juga perlu faham tentang waktu puncak penjualan dan pembelian di mana hasil pemerhatian saya, waktu tersebut adalah ketika promosi tarikh 5.5 atau hari gaji.

“Peniaga juga perlu faham kerenah pelanggan kerana ada jenis yang suka menyentuh barang secara fizikal tetapi bagi platform dalam talian, review adalah kekuatan untuk mereka melihat kualiti barangan tersebut sebelum membeli,” jelasnya.

Justeru itu, Faiq menyarankan orang ramai yang berkeinginan untuk menceburi bidang perniagaan dalam talian untuk mendapatkan ilmu terlebih dahulu tentang teknik penjualan bagi menarik perhatian pelanggan.

“Jika mereka adalah orang baharu dalam bisnes ini, lihat terlebih dahulu bagaimana cara peniaga lain memasarkan produk dan jika melakukan jualan secara live, tengok cara mereka berinteraksi, penggunaan ayat dan sebagainya kerana hal ini penting untuk menarik perhatian dan keyakinan pelanggan di samping boleh membantu meningkatkan keuntungan jualan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas