OLEH SABRINA SABRE & DIANA AMIR
DI sebalik kerancakan perkembangan teknologi khususnya media baharu yang turut merangkumi platform media sosial, kebimbangan kanak-kanak menjadi mangsa pelbagai bentuk eksploitasi kian mendapat perhatian.
Tidak dapat dinafikan kanak-kanak dan media sosial sukar untuk dipisahkan, lebih-lebih lagi apabila penggunaan peranti semakin meningkat ketika proses pengajaran dan pembelajaran dijalankan secara dalam talian sewaktu pandemik COVID-19 melanda.
Namun manfaat capaian maklumat tanpa had serta komunikasi tanpa halangan mahupun dunia tanpa sempadan melalui platform media sosial tentunya mempunyai cabaran atau ‘harga yang perlu dibayar’.
Antaranya isu buli siber dalam kalangan kanak-kanak, eksploitasi seksual seperti pedofil, penipuan dalam talian dan pelbagai lagi yang menggusarkan ibu bapa serta masyarakat secara keseluruhannya.

Menurut Pakar Perunding Kanak-Kanak, Dr Hieu Yu Jin, pemilikan akaun media sosial oleh kanak-kanak di bawah usia 13 tahun akan mendedahkan mereka kepada kerencaman dan kecelaruan maklumat sekali gus memberi kesan terhadap perkembangan minda golongan itu.
“Pendedahan terlalu awal kepada media akan meningkatkan risiko kanak-kanak terpengaruh dengan elemen yang mungkin tidak sesuai dengan kategori umur mereka.
“Selain itu‚ ketagihan terhadap penggunaan gajet atau media sosial dalam kalangan kanak-kanak juga boleh memberi impak kepada perkembangan otak dan tumbesaran,” katanya.
Yu Jin memberitahu bahawa kanak-kanak di bawah umur 13 tahun cenderung untuk menjadi kurang responsif kepada keadaan sekeliling.
Berdasarkan kajian katanya ketagihan ini menjadikan interaksi mereka dengan keluarga dan rakan semakin berkurangan.
“Mereka juga tiada kemahiran interaksi sosial yang bersesuaian dengan umur mereka, malah mungkin terdapat kelewatan terhadap perkembangan tingkah laku. Mereka akan bertindak tanpa berfikir dengan mengikut trend ekstrem tular yang dimuat naik oleh pempengaruh di media sosial.
“Ini secara tidak langsung akan memberi impak kepada kesihatan mental dan fizikal mereka. Jadi amat wajar untuk beberapa konten yang mudah didapati di dalam gajet atau media sosial ditapis mengikut kesesuaian umur lebih-lebih lagi kepada kanak-kanak di bawah umur 13 tahun,” katanya.
Beliau berkata kanak-kanak dan remaja sebenarnya menjadi golongan fasa umur yang dianggap rapuh serta paling mudah terdedah kepada pengaruh negatif media sosial meskipun ia merupakan platform penting dalam kehidupan harian.
“Oleh itu, pihak kerajaan perlu berbincang mengenai kaedah pelaksanaan dan penguatkuasaan had umur minimum pemilikan akaun media sosial yang sebenarnya selari dengan saranan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Komunikasi mengenai isu pemilikan akaun media sosial kanak-kanak,” katanya.
Selain itu‚ Yu Jin berkata dengan memperkenalkan had umur minimum, media sosial dapat membantu dalam melindungi kanak-kanak dan remaja daripada ancaman penipuan dalam talian, gangguan seksual, sexting dan buli siber, sekali gus memberi ruang untuk berkembang dalam persekitaran lebih selamat serta terkawal.
“Ia juga dapat membantu dalam mencegah akses generasi muda kepada kandungan tidak sesuai, termasuk berunsurkan keganasan dan seksual yang dapat memastikan perkembangan sihat serta positif.
“Ini sebenarnya dapat memberi peluang kepada individu untuk meningkatkan kesedaran digital dan kematangan sebelum terbabit secara aktif dalam dunia media sosial hingga dapat membuat keputusan lebih baik dalam penggunaan media sosial, selain mendorong pembangunan kemahiran kritis dan kematangan digital.
“Malah dalam keadaan dunia sekarang yang terdedah kepada risiko gangguan kesihatan mental, penggunaan media sosial terkawal dan dipantau dapat membantu dalam perkembangan psikososial generasi muda,” katanya.
Menurut Yu Jin kanak-kanak yang terdedah kepada kandungan seperti ini didapati mudah terpengaruh untuk terjerumus dalam aktiviti tidak bermoral sebagai contoh aktiviti seksual bersama rakan sebaya dan di bawah umur, sekali gus membuktikan bahaya kandungan yang tidak dikawal serta kurangnya panduan keselamatan untuk kanak-kanak.
“Ketagihan gajet dalam kalangan kanak-kanak semakin membimbangkan apabila golongan itu sering menghabiskan masa yang berlebihan di media sosial sehingga mengganggu proses pembelajaran seterusnya merencat pembangunan sosial.
“Kes-kes ini menunjukkan bahawa kanak-kanak bukan sahaja memerlukan bimbingan tetapi juga sokongan emosi berterusan bagi mengurangkan impak negatif oleh media sosial yang boleh merosakkan kesihatan mental mereka.
“Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) juga pernah menerima aduan kes buli siber yang tragis melibatkan seorang kanak-kanak yang menjadi mangsa buli berterusan, yang akhirnya membawa kepada kemurungan dan masalah kesihatan mental yang kronik,” katanya buli siber juga boleh mengundang kepada kematian seperti yang berlaku kepada pempengaruh media sosial‚ A. Rajeswary atau dikenali sebagai Esha sebelum ini.
BERGANDING BAHU MAIN PERANAN
DALAM masa sama beliau berkata ibu bapa juga digalakkan untuk mengaktifkan tetapan ‘parental control’ semasa anak mereka diberi kebenaran untuk menggunakan gajet.
“Ini bukan untuk mengongkong kebebasan mereka tetapi untuk mengehadkan akses orang di luar sana kepada mereka. Kita tak tahu mungkin ada orang dewasa yang sedang berbual dengan mereka di dalam talian.
“Selain itu‚ perlu ada pemantauan dari semasa ke semasa. Lebih baik jika penggunaan media sosial ini hanya dilakukan di rumah sahaja supaya pemantauan dapat dilakukan dengan lebih dekat.
“Kita perlu nasihatkan mereka jangan berbual berlebih-lebih dengan orang tidak dikenali, perlu juga hadkan pendedahan konten dewasa,” katanya.
Menurutnya kanak-kanak itu berisiko untuk mendapat isu psikologi seperti kemurungan, kebimbangan, gangguan perhatian defisit hiperaktif (ADHD) dan gangguan tabiat pemakanan seperti anoreksia nervosa.
“Mereka juga akan mula terdedah dengan penyakit fizikal seperti obesiti, rabun jauh dan masalah pendengaran. Ia juga memberi kesan negatif kepada pencapaian akademik mereka iaitu terdapat kelewatan dalam pembelajaran dan kemahiran sosial.
“Ada kebarangkalian mereka akan guna gajet pada waktu yang sama apabila melakukan kerja rumah. Ini kerana kanak-kanak kebiasaannya gemar untuk ‘multitask’ ataupun melakukan pelbagai kerja serentak, jadi secara tidak langsung memberi kesan pada prestasi sekolah mereka,” katanya.
Yu Jin berkata pihak kerajaan perlu memberi pendidikan dan kesedaran kepada pengguna mengenai kepentingan had umur pemilikan media sosial melalui kempen kesedaran awam, pengumuman di platform media sosial dan penyediaan sumber pendidikan mengenai kesan negatif penggunaan media sosial berlebihan.
“Dalam hal ini, semua pihak berkepentingan perlu bekerjasama termasuk kerajaan, industri, pakar kesihatan mental dan masyarakat untuk memastikan pendekatan holistik serta berkesan dalam mengendalikan isu berkaitan penggunaan media sosial dalam kalangan golongan muda.
“Penguatkuasaan undang-undang perlu diperkenalkan untuk memperkukuh pelaksanaan dan penguatkuasaan had umur pemilikan media sosial, termasuk dengan mengenakan denda kepada platform media sosial yang tidak mematuhi peraturan serta memperkenalkan undang-undang boleh memberikan implikasi kepada kesalahan maklumat palsu.
“Dengan mempertimbangkan aspek ini dan mengambil langkah sesuai, pelaksanaan dan penguatkuasaan had umur pemilikan media sosial dapat dilakukan, sekali gus memberi perlindungan lebih baik kepada generasi muda daripada risiko dan ancaman penggunaan media sosial tidak terkawal.
“Realitinya penguatkuasaan had umur minimum dapat melindungi keselamatan dan kesejahteraan generasi muda dalam era digital ini, sekali gus menjadi langkah proaktif yang dapat membantu dalam membentuk persekitaran maya lebih selamat, bertanggungjawab dan sihat,” katanya. – WILAYAHKU