Berita

Mechamato Movie berdepan saingan sengit bagi merebut trofi Filem Terbaik, FFM 33

- Diterbit 5 Disember 2024 11:12 AM MYT

FILEM animasi Mechamato Movie terbitan Animonsta Studio berdepan cabaran sengit apabila berdepan dengan filem aksi nyata (live action) bagi kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM) ke-33.

Mechamato Movie arahan Nizam Razak bersaing dengan filem Abang Adik, Duan Nago Bogho, Hungry Ghost Diner, Imaginur, Mechamato Movie, Rain Town dan Sheriff: Narko Integriti.

Salah seorang pengarah filem itu Dzubir Mohammed Zakaria, berkata mereka amat berbesar hati dan berterima kasih di atas keterbukaan industri filem tanah air apabila memberi peluang kepada filem animasi bersaing dengan filem lain di FFM.

“Sebelum ini animasi dilihat sebagai tontonan komersial kanak-kanak, tetapi kita dapat melihat industri dan masyarakat semakin menghargai kesenian walaupun animasi disasarkan untuk golongan kanak-kanak dan keluarga.

“Masyarakat pada masa kini sangat menghargai nilai filem walau dalam bentuk apa sekali pun karya itu. Ini adalah satu kemajuan dalam industri animasi dan kita sudah semakin melangkah ke depan.

“Sebagai penggiat animasi, tentunya kami mengharapkan yang terbaik kepada industri animasi,” kata Dzubir pada Sesi Apresiasi Filem Sempena FFM 33.

Turut diundang sebagai panel ialah Pengarah Kreatif Mechamato, Muhammad Anas Abdul Aziz, manakala Ahmad Fedtri Yahya pula bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, berkongsi mengenai harapan mereka untuk FFM 33, Dzubir berkata mereka sudah cukup berbangga apabila Mechamato Movie berjaya lolos dalam lima kategori.

Iaitu Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Penataan Bunyi Terbaik, Kesan Khas Terbaik dan Poster Terbaik.

“Siapa yang tak mahu menang sesuatu, tetapi dicalonkan adalah satu rezeki.

“Kami amat menghargai dan insyallah doakan yang terbaik untuk filem kami,” katanya.

FFM 33 bakal disiarkan secara langsung di TV2 dari Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media pada Sabtu ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas