Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

MCW sambut baik inisiatif SPRM

- Diterbit 21 Jun 2024 9:30 AM MYT

TAWARAN ganjaran wang tunai untuk penjawat awam yang melaporkan kesalahan rasuah disifatkan sebagai satu langkah positif, kata Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim.

Katanya, tawaran berkenaan itu bukan sahaja mendorong lebih ramai individu untuk melaporkan kes rasuah tetapi juga membantu membina budaya integriti dan ketelusan dalam perkhidmatan awam.

“Ganjaran ini juga menegaskan kepentingan peranan penjawat awam dalam usaha memerangi rasuah sekali gus dapat meningkatkan persepsi positif terhadap mereka,” katanya.

Jais berkata penjawat awam atau mana-mana pihak tidak perlu khuatir untuk mengambil tindakan melaporkan jenayah rasuah berikutan mereka dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

“Akta ini memastikan identiti pemberi maklumat dirahsiakan dan melindungi mereka daripada sebarang tindakan balas atau diskriminasi.

“Perlindungan ini penting untuk memastikan bahawa penjawat awam berasa selamat dan yakin untuk melaporkan kesalahan rasuah tanpa takut berhadapan kesan negatif terhadap kerjaya atau keselamatan mereka,” katanya.

Menurut Jais, pihaknya bekerjasama rapat dengan SPRM dan agensi kerajaan lain melalui pelbagai inisiatif, termasuk perkongsian maklumat, kempen kesedaran dan program latihan.

“MCW juga menyediakan sokongan dan nasihat kepada penjawat awam yang ingin melaporkan rasuah bagi memastikan bahawa laporan mereka diambil serius dan disiasat dengan teliti.

“Melalui kerjasama ini, MCW membantu memastikan bahawa tindakan sewajarnya diambil terhadap kes rasuah yang dilaporkan,” katanya.

Jais berkata antara contoh kejayaan ialah apabila laporan rasuah oleh penjawat awam di sebuah jabatan telah membawa kepada penahanan dan pendakwaan beberapa pegawai kanan yang terlibat.

“Kes tersebut membawa kepada pembaharuan prosedur dalaman jabatan tersebut serta meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kewangan dan proses pentadbiran.

“Kejayaan ini menunjukkan keberkesanan skim ganjaran dan kepentingan peranan pemberi maklumat dalam menegakkan integriti dalam perkhidmatan awam,” katanya.

Beliau berkata MCW memberi sokongan moral dan nasihat undang-undang kepada pemberi maklumat yang tampil bekerjasama dengan SPRM untuk memastikan perlindungan yang diberi berkesan selari di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat.

“MCW turut berperanan meningkatkan kesedaran tentang hak dan perlindungan yang tersedia untuk pemberi maklumat melalui kempen pendidikan dan latihan dan memastikan laporan yang diterima disiasat dengan teliti dan tindakan diambil dengan segera untuk mengelakkan kes rasuah berulang,” katanya.

Dalam pada itu, Jais berkata penjawat awam yang mempunyai kesedaran tinggi untuk melaporkan amalan rasuah di agensi atau jabatan masing-masing perlu mengambil langkah tertentu seperti mengumpulkan dan menyediakan bukti sokongan yang relevan untuk membantu siasatan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas