Berita

MCW cadang DBKL guna kamera badan, elak penguatkuasaan kasar terhadap penjaja kecil

PRESIDEN MCW, Jais Abdul Karim
- Diterbit 30 Mac 2025 12:30 PM MYT

PEMERHATI Rasuah Malaysia (MCW) menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk melaksanakan penguatkuasaan secara lebih berhemah dan berperikemanusiaan terhadap penjaja kecil, selain mencadangkan penggunaan kamera badan (body cam) bagi memantau tindakan penguatkuasa.

Presiden MCW, Jais Abdul Karim, berkata tindakan penguatkuasaan harus dilakukan secara adil dan profesional, tanpa kekerasan, bagi mengelakkan salah guna kuasa serta mengekalkan kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa tempatan.

“MCW memahami cabaran yang dihadapi oleh penguatkuasa. Jika tiada tindakan, mereka akan dituduh berkompromi, tetapi jika bertindak tegas, mereka dikritik sebagai tidak berperikemanusiaan. Oleh itu, prosedur operasi standard (SOP) perlu diperbaiki agar lebih adil dan seimbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jais turut mencadangkan supaya DBKL mewajibkan penggunaan kamera badan kepada semua pegawai penguatkuasa bagi memastikan ketelusan dan mengelakkan sebarang salah laku semasa operasi dijalankan.

“Rakaman kamera badan boleh menjadi bukti sahih sekiranya timbul pertikaian dan pada masa yang sama, ia dapat memastikan anggota bertindak secara profesional serta mengurangkan risiko penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Selain itu, beliau menggesa penguatkuasa diberikan latihan khas dalam pengurusan konflik, komunikasi efektif dan penggunaan budi bicara ketika berdepan dengan penjaja kecil.

“Penggunaan kekerasan tidak boleh diterima dalam mana-mana keadaan. Setiap anggota penguatkuasa perlu memahami sensitiviti masyarakat serta bertindak dengan kebijaksanaan,” tambahnya.

PRESIDEN MCW, Jais Abdul Karim

Jelas Jais, sebagai langkah membantu penjaja kecil mencari rezeki, pihakbya turut mencadangkan DBKL mempertimbangkan pemberian kelulusan sementara kepada penjaja tanpa lesen sepanjang Ramadan, selagi mereka tidak mengganggu lalu lintas dan kebersihan.

“Ini dapat membantu golongan berpendapatan rendah tanpa mereka perlu berdepan dengan risiko tindakan tegas yang boleh menjejaskan sumber pendapatan,” katanya.

Jais menegaskan bahawa MCW tidak menolak keperluan penguatkuasaan undang-undang, namun ia perlu dilaksanakan secara beradab dan berperikemanusiaan agar tidak menindas golongan marhaen.

“MCW bersedia untuk berbincang dengan DBKL dan pihak berkepentingan bagi merangka dasar yang lebih adil, telus dan manusiawi demi kepentingan bersama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas