Advertorial

MCMC terus mendidik pengguna ‘Perlu Klik Dengan Bijak’

- Diterbit 19 Julai 2024 12:10 PM MYT

PEMBANGUNAN teknologi komunikasi dan multimedia yang pesat pada masa kini menunjukkan peningkatan kadar penembusan jalur lebar yang menyeluruh sewajarnya menjadi pemangkin ke arah kemajuan negara.

Namun, tidak dinafikan bahawa literasi Internet pada masa kini pula dikhuatiri mampu menjejaskan nilai budaya bangsa dan negara jika tiada langkah pencegahan diambil.

Selain itu, jenayah siber melibatkan elemen seksual dalam talian juga mencatatkan peningkatan yang membimbangkan sekali gus mengancam generasi muda yang mempunyai akses terus terhadap Internet.

Untuk mengatasi masalah itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sudah mengambil beberapa pendekatan utama menerusi tiga prinsip keselamatan di Internet iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri.

Menurut Ketua Bahagian Koordinasi Negeri MCMC, Bukhari Yahya, penganjuran Karnival Jom Bijak Internet memberi didikan kepada masyarakat untuk meningkatkan rasa tanggungjawab pengguna Internet di negara ini.

Katanya, selain usaha kerajaan iaitu dari segi pemantauan dan penguatkuasaan, pendekatan berteraskan pendidikan kepada masyarakat amat penting agar statistik mangsa jenayah siber dapat dikurangkan.

“Kita menekankan prinsip Rukun Negara dengan merangkumi semua perkara yang perlu diamalkan dalam kehidupan rakyat Malaysia dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang sama ada dalam realiti mahu pun di alam maya.

“Selain itu, kita juga melaksanakan pelbagai pengisian pada penganjuran ini antaranya ceramah Klik Dengan Bijak, Bahaya Jenayah Siber, Larian Fun Run dan sebagainya.

“Kita berharap dengan aktiviti seumpama ini dapat meningkatkan kesedaran, kefahaman dan ukhuwah di antara agensi yang terlibat dengan komuniti,” katanya kepada media pada Karnival Jom Bijak Internet 2024, di Kampung Bukit Kuda, baru-baru ini.

Terdahulu, program dihadiri lebih 1,000 penduduk termasuk kanak-kanak.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek menyeru masyarakat supaya berwaspada dan tidak terbabit dalam jenayah siber.

Katanya, penganjuran karnival itu mampu memberi kesedaran kepada masyarakat khususnya di luar bandar dan yakin ia memberikan kesan positif dalam memahami kesedaran penggunaan Internet dengan bijak.

“Kita ucapkan terima kasih kepada MCMC kerana memilih Kampung Bukit Kuda bagi menganjurkan karnival ini dan berharap masyarakat setempat mengambil peluang dan ilmu ini dengan sebaiknya.

“Selain itu, kita turut mengharapkan agar karnival ini sentiasa dipergiatkan secara berterusan ke beberapa buah kampung di sini agar ia dapat dimanfaatkan oleh semua penduduk di pulau ini bagi meningkatkan kesedaran siber mereka,” katanya.

Labuan catat penurunan

Sebanyak 20 hingga 30 peratus penurunan kes melibatkan siber dicatatkan di Labuan bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini.

Pegawai Jabatan Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan, Asistan Superintendan (ASP) Mohd Dzulkiflee Emmanuel Abdullah berkata dalam tempoh itu sebanyak 185 kes jenayah siber berbanding 250 kes dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Katanya, hasil siasatan mendapati semua kes itu tidak hanya membabitkan penduduk di pulau ini malahan dari luar.

“Berdasarkan rekod laporan yang kami terima, aduan dan laporan jenayah siber di Labuan ketika ini telah menurun.

“Antaranya ialah unsur penipuan menerusi jualan yang diiklankan di media sosial,” katanya.

Beliau turut menasihatkan masyarakat agar sentiasa berwaspada apabila melakukan pembelian secara dalam talian supaya tidak menjadi mangsa jenayah siber.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas