SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ada menerima aduan mengenai kewujudan kumpulan pengantunan kanak-kanak (sexual grooming) di media sosial.
Perkara itu disahkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dengan siasatan lanjut akan dijalankan melalui kerjasama MCMC dan Meta.
Menurut beliau, ia juga melibatkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11) Bukit Aman.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengenal pasti aktiviti dalam kumpulan tersebut. Jika terdapat sebarang kesalahan, kita akan bertindak.
“MCMC sendiri ada terima aduan dalam platform X,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan Sesi Pengumuman Kolaboratif Malaysia International Healthcare (MIH) Megatrends sempena Persidangan MIH Megatrends 2024 di Kuala Lumpur hari ini.
Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta Pengerusi MCMC, Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.
Fahmi menambah, MCMC selaku agensi teknikal akan turut membantu terutama dalam profiling akaun berkenaan.
Terdahulu beliau ditanya mengenai kewujudan beberapa kumpulan di media sosial yang menjurus kepada aktiviti pengantunan kanak-kanak dengan menggunakan nama-nama tertentu. – WILAYAHKU