Berita

MCMC terbit laporan rundingan awam

Foto: BERNAMA
- Diterbit 19 Disember 2024 9:50 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerbitkan laporan mengenai Rundingan Awam berhubung Draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) untuk Penyedia Perkhidmatan Pesanan Internet dan Penyedia Perkhidmatan Media Sosial.

MCMC dalam kenyataannya berkata rundingan yang berakhir pada 5 November 2024 itu memohon maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan, termasuk penyedia perkhidmatan, pemain industri dan orang awam.

“Rundingan awam itu bertujuan untuk mendapatkan pandangan bagi memperhalusi dan menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) sebelum penerbitannya sebagai amalan terbaik industri menjelang 1 Januari 2025.

“Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) ini bertujuan untuk memupuk persekitaran dalam talian yang lebih selamat untuk semua rakyat Malaysia, dengan fokus spesifik kepada perlindungan kanak-kanak dan golongan rentan,” katanya.

Tambahnya, Suruhanjaya menghargai maklum balas dan komitmen yang ditunjukkan oleh semua pihak.

“Pandangan mereka membantu untuk memastikan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) adalah jelas, fleksibel dan praktikal. Sumbangan ini penting untuk menyokong usaha mewujudkan persekitaran dalam talian yang lebih selamat dan terjamin,” ujarnya.

Jelas kenyataan itu walaupun versi akhir Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) akan diterbitkan dalam masa terdekat, laporan rundingan awam yang kini tersedia memberikan gambaran keseluruhan tentang maklum balas yang diterima.

“Suruhanjaya telah meneliti dan mempertimbangkan maklum balas ini dengan teliti untuk menambah baik draf Kod Tatalaku (Amalan Terbaik).

“Laporan penuh mengenai rundingan awam ini boleh dilayari dan dimuat turun menerusi pautan berikut https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/PressRelease/MCMC_Public-Consultation-Report-on-Draft-Code-of-Conduct-Best-Practice-for-Service-Providers-18122024.pdf,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas