Berita

MCMC teliti teknologi baharu, guna satelit LEO tambah baik liputan internet

- Diterbit 4 November 2024 1:20 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang meneliti perkembangan teknologi baharu termasuk direct to device yang menggunakan teknologi satelit Low Earth Orbit (LEO) bagi menambah baik liputan internet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, ia mampu memberi manfaat kepada pengguna terutama penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman.

Menurut beliau, langkah itu antara komitmen MCMC untuk menambah baik perkhidmatan internet dan infrastruktur komunikasi di seluruh negara.

“Berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai dan dapatan oleh MCMC mengenai isu liputan yang dihadapi serta perancangan berterusan, beberapa penambahbaikan akan dilakukan.

“Ini termasuk mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk dimasukkan dalam Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 2 kelak,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Larry Soon @ Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) mengenai lokasi yang memerlukan peningkatan sambungan internet.

Nie Ching berkata, MCMC sentiasa bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan dalam pelbagai sesi mesyuarat, bengkel dan juga lawatan tapak sebagai salah satu kaedah fasilitasi untuk menyelesaikan isu dan cabaran di lapangan bagi memastikan keseluruhan perancangan berjalan dengan lancar.

UUntuk itu katanya, MCMC mengenal pasti sejumlah 2,700 lokasi di seluruh negara yang perlu dinaik taraf bagi liputan internet.

Malah jelasnya, MCMC juga menyedari bahawa terdapat banyak menara komunikasi siap dibina namun tidak dapat beroperasi.

“Justeru kami telah mengeluarkan arahan kepada penyedia perkhidmatan telekomunikasi untuk memberi solusi interim dalam tempoh enam bulan supaya infrastruktur internet tidak dibazirkan,” katanya.

Terdahulu beliau memberitahu, di bawah inisiatif JENDELA Fasa 1, sehingga 30 September lalu bagi Sarawak, 524 daripada 902 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi.

Menurut beliau, 4,376 daripada 4,386 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf, 151,695 daripada 207,135 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 523 lokasi telah menikmati perkhidmatan internet menggunakan teknologi satelit Broadband Wireless Access (BWA). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas