Berita

MCMC siasat media muat naik ilustrasi bendera malaysia tidak lengkap, keluar amaran tegas

- Diterbit 16 April 2025 9:28 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak media Kwong Wah Yit Poh susulan laporan berkaitan gambar ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap yang dimuat naik di laman Facebook rasmi organisasi berkenaan hari ini.

Menurut kenyataan MCMC, siasatan sedang dijalankan di bawah peruntukan Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), kerana kandungan yang dimuat naik tersebut berpotensi menyalahi undang-undang apabila menyentuh soal simbol kebangsaan.

“MCMC memandang serius perkara ini dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan siasatan lanjut, sekiranya perlu,” jelas kenyataan itu.

MCMC turut mengeluarkan amaran tegas kepada semua pihak, termasuk organisasi media dan orang awam agar tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh dianggap memperlekeh atau menampilkan bendera Malaysia dalam keadaan yang tidak lengkap.

“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini. MCMC komited memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal tertib dan menghormati simbol-simbol kebangsaan,” kata kenyataan itu. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas