Berita

MCMC relevan dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi

Foto: BERNAMA
- Diterbit 20 Disember 2024 2:08 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) masih relevan dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi seperti diwartakan melalui Perintah Menteri-Menteri Kerajaan Persekutuan (Pindaan)(No. 2) 2024.

Menurut Kementerian Komunikasi, segala inisiatif MCMC yang dilaksanakan adalah berfokus kepada kemajuan sektor komunikasi dan multimedia khususnya dalam menyokong dasar kebangsaan Kerajaan Malaysia.

Dalam hal itu katanya, pendekatan ‘whole of government approach’ tanpa mengira di mana letaknya MCMC perlu diutamakan supaya segala inisiatif yang dirancang dapat dilaksanakan.

“Sebagai contoh Digital Nasional Berhad (DNB) yang diletakkan di bawah Kementerian Digital adalah dikawal selia oleh MCMC melalui Akta 588 (Akta Komunikasi dan Multimedia).

“Sungguhpun begitu DNB masih boleh menggunakan spektrum secara optimum dan memperoleh capaian yang terbuka, saksama dan adil dalam penyediaan rangkaian 5G,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Seri Dr Zurainah Musa mengenai bagaimana Kementerian Digital akan menangani cabaran berhubung dengan agensi MCMC yang bertanggungjawab mengawal selia infrastruktur digital, tetapi diletakkan di bawah bidang kuasa Kementerian Komunikasi.

Jelas kementerian tersebut, MCMC beroperasi berlandaskan 10 Matlamat Dasar Kebangsaan bagi industri komunikasi dan multimedia selaras dengan teras-teras yang digariskan di bawah Kerangka Strategik Kementerian Komunikasi 2024-2025.

Ia katanya, melibatkan Teras 1: Memantapkan infrastruktur telekomunikasi dan kebolehcapaian yang berkualiti, dan Teras 2: Memperkukuhkan dasar dan kawal selia ekosistem telekomunikasi, pos dan kurier negara yang efektif.

“Selain daripada infrastruktur digital, MCMC juga menjalankan fungsi dan kuasa lain di bawah Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Akta Komunikasi dan Multimedia seperti industri penyiaran.

“Selain itu, hal ehwal industri pos dan kurier juga dikawal selia oleh MCMC melalui Akta Perkhidmatan Pos 2012. Fungsi dan peranan MCMC yang diperuntukkan di bawah akta-akta tersebut adalah saling berkaitan dengan industri komunikasi dan multimedia.

“Maka dengan itu, adalah relevan untuk MCMC dikekalkan di bawah Kementerian Komunikasi,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas