Berita

MCMC kaji pelaksanaan Sistem Alamat Nasional

- Diterbit 6 Januari 2025 7:44 PM MYT

KEMENTERIAN Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) sedang giat menjalankan kajian pelaksanaan berhubung Sistem Alamat Nasional (NAS).

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, kajian itu bertujuan untuk membentuk rangka sistem alamat yang berautoritatif, seragam, dan bersepadu di peringkat kebangsaan.

“Apabila siap sepenuhnya, NAS akan menjadi sistem tunggal bagi sumber alamat yang autoritatif dan diiktiraf oleh kerajaan sebagai rujukan utama untuk mengurus lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara, melalui kerjasama erat antara pelbagai pihak berkepentingan.

“MCMC telah memulakan kerjasama strategik dengan pelbagai agensi, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) serta pemain industri geospatial tempatan dalam menjayakan misi NAS ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara MCMC dan Kerajaan Negeri Melaka.

Sebelum itu, pertukaran dokumen insiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi MCMC Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad disaksikan Fahmi dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Difahamkan, Kampung Digital Melaka merupakan inisiatif yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Negeri Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.

Projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.

Sementara itu, Fahmi berkata ketiadaan sumber alamat berautoritatif yang diiktiraf oleh kerajaan menyebabkan data alamat diuruskan secara berasingan oleh pelbagai agensi telah membawa kepada kebergantungan kepada teknologi luar.

Beliau berkata dianggarkan lebih daripada RM700 juta dibelanjakan setiap tahun untuk perkhidmatan geospatial dan navigasi utama dari luar negara.

“Ini telah menyebabkan ketirisan kepada pendapatan negara dan meningkatkan risiko terhadap pengurusan maklumat infrastruktur kritikal negara (NCII) akibat ketiadaan sistem alamat yang bersepadu,” katanya.

Menurut Fahmi, NAS juga telah dikenal pasti sebagai Needle Mover di bawah Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan Dasar 4IR Negara untuk merealisasikan aspirasi kerajaan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.

“Dengan pelaksanaan sistem NAS, kita tidak lagi perlu bergantung kepada kaedah tradisional seperti mengenal pasti alamat berdasarkan warna bumbung rumah, nombor tiang elektrik, atau tanda perbatuan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas