Berita

MBM sambut baik komitmen PM pertimbang inisiatif Sejati Madani

Foto: MBM
- Diterbit 15 Januari 2025 10:26 AM MYT

MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menyambut baik komitmen Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mempertimbangkan inisiatif Sejati Madani untuk diperluaskan kepada pertubuhan belia di peringkat akar umbi.

Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berkata, ia sekali gus dapat menghakupayakan pertubuhan belia akar umbi khasnya Majlis Belia Negeri dan Majlis Belia Daerah dalam melaksanakan inisiatif yang memberikan manfaat kepada kelompok masyarakat terbanyak terutama di desa.

“MBM menghargai sokongan berterusan kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan terutama dalam aspek pengagihan geran pentadbiran kepada pertubuhan belia seluruh negara.

“Sebagai pertubuhan belia terbesar tanah air, menjadi tanggungjawab MBM untuk memastikan aspek tatakelola pertubuhan diuruskan dengan sebaik mungkin dan dimanfaatkan kepada program yang berimpak tinggi,” ujarnya dalam kenyataan.

Tambahnya, bertepatan dengan kepengerusian ASEAN 2025, MBM bersedia bersama kerajaan dalam menjayakan agenda kebangkitan Asia melalui peranan signifikan MBM bersama rakan-
rakan pertubuhan serantau dan antarabangsa.

“Sebagai rakan pembangunan negara, MBM berikrar untuk terus mendokong kerajaan terutama dalam menggerakkan usaha pembudayaan ilmu, pembangunan kapasiti karakter belia dan kepimpinan generasi baru Malaysia sejajar dengan nilai-nilai yang terkandung dalam enam teras Malaysia MADANI,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri atas penyempurnaan perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan (MPAT) MBM kali ke-73 di Kuala Lumpur baru-baru ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas