NILAI mata wang Ringgit Malaysia dijangka akan terus mengukuh sehingga di bawah paras RM4 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) sehingga hujung tahun ini.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Ringgit Malaysia, yang terus mencatatkan aliran meningkat, melonjak kepada paras tertinggi berbanding dolar AS sejak Mac 2022.
“Ia bukan sahaja mata wang yang mencatatkan prestasi terbaik di rantau ini malah menunjukkan pengukuhan paling ketara di peringkat dunia pada bulan ini susulan penurunan kadar faedah yang besar oleh Rizab Persekutuan (Federal Reserve) Amerika Syarikat (AS).
“Perjalanan negara dalam mengatasi cabaran dan mencapai pertumbuhan pesat, disokong oleh ekonomi yang berkembang pada kadar terpantas dalam tempoh 19 bulan lepas, telah menarik perhatian global,” katanya kepada Wilayahku.
Tambah Mohd Afzanizam, reformasi ekonomi negara sedikit sebanyak membantu pertumbuhan peningkatan eknomi negara sekali gus meningkatkan nilai ringgit itu sendiri.
“Reformasi ekonomi yang dilaksanakan telah memberi impak positif kepada keyakinan pelabur-pelabur asing, pembaharuan struktur kerajaan yang berterusan, rasionalisasi subsidi dan peningkatan perlindungan sosial menawarkan peluang untuk meneruskan perubahan yang bermakna.
“Selain itu, tindakan terselaras antara kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM), yang telahpun membantu keseimbangan aliran (dana) yang lebih baik akan diteruskan dan ini akan memberikan sokongan kukuh terhadap ringgit.
“Terdapat beberapa bank-bank pelaburan global seperti JP Morgan, Nomura dan HSBC telah memnberi syor yang positif kepada para pelanggan mereka dari segi penarafan negara Malaysia.
“Perkara ini telah menyebabkan berlakunya kemasukan jumlah dana-dana asing ke dalam negara kita,” jelasnya. – WILAYAHKU