PENCEROBOHAN nelayan asing khususnya dari Filipina sehingga ke kawasan persisiran pantai dan ‘merompak’ sumber laut Labuan menimbulkan kebimbangan kepada nelayan tempatan yang bergantung sepenuhnya kepada aktiviti berkenaan.
Pengerusi Persatuan Nelayan Labuan Selatan (Penawan), Hassan Jinin berkata walaupun pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut dan Jabatan Perikanan kerap melakukan rondaan, namun mereka masih lagi berani memasuki perairan Labuan sehingga kurang tiga batu nautika dari persisir pantai.
“Mereka ini licik dan berbahaya kerana ada dalam kalangan
mereka melakukan pengeboman ikan untuk mengaut hasil dari perairan kita.
“Malah mereka juga dilihat berani melakukan aktiviti tersebut meskipun berada tidak jauh daripada kumpulan nelayan tempatan lebih-lebih lagi apabila mengetahui bot penguatkuasa beredar,” katanya kepada Wilayahku.
Jelas Hassan, kebanyakan nelayan asing ini menggunakan pump boat yang telah diharamkan oleh pihak berkuasa negara ini.
“Sebenarnya sudah lama penggunaan pump boat ini diharamkan kerana ia tidak mengundur dan hanya akan kehadapan, malah jika ada halangan mereka akan langgar kerana tidak boleh reverse,” katanya.
Menurut Hassan, pihaknya juga telah berbincang dengan APMM mengenai masalah dan menerusi mesyuarat yang dijalankan, pihak berkuasa minta supaya masalah ini diberi perhatian berkenaan sepanjang aktiviti penangkapan ikan dijalankan.
“Setakat hari ini, pihak APMM selaku pihak berkuasa yang menjalankan penguatkuasaan turut lakukan pemantauan khususnya di kawasan nelayan tempatan melakukan aktivti penangkapan ikan, tetapi nelayan asing ini licik kerana apabila sudah tiada bot penguatkuasa itu, mereka akan datang dan sekiranya ada kelibat bot penguatkuasa, mereka akan melarikan diri.
“Mereka juga turut mengganggu kawasan tumpuan nelayan tempatan selain turut menjalankan aktiviti bom ikan menyebabkan nelayan tempatan tidak berani menegah kerana khuatir dengan keselamatan diri,” katanya.
Kata beliau kehadiran nelayan asing ini turut merosakkan peralatan penangkapan ikan khususnya bubu yang dipasang di kawasan-kawasan tumpuan yang kebiasaannya telah ditanda oleh nelayan tempatan di dalam radius tiga batu nautika dari pesisir pantai.
“Mereka ada menggunakan bot nelayan pukat tunda yang tidak sesuai digunakan di pesisir pantai yang merosakkan tukun-tukun nelayan yang dibuat sendiri oleh nelayan tempatan, mereka akan tarik dan rosakkan.
“Mereka juga akan menghilangkan bubu dan baru-baru ini ahli nelayan saya ada mengadu kerana bubu yang diletakkan dibeberapa kawasan di laut sebanyak 22 unit apabila diangkat hanya tinggal tiga unit sahaja dikhuatiri ditarik bot pukat tunda tersebut,” katanya.
Justeru itu, Hassan berkata masalah berkenaan menjadi semakin serius dan semua pihak di Labuan telah menjalankan tugas dengan baik, namun pencerobohan tetap berlaku.
“Kita faham kerana pihak APMM tidak boleh menjaga kawasan nelayan secara berterusan kerana mereka perlu melakukan pemantauan di kawasan lain.
“Namun pada masa sama, pihak berkepentingan juga perlu mencari jalan supaya mata pencarian nelayan tempatan tidak terus dirompak nelayan asing yang selama ini telah mengancam keselamatan nelayan tempatan,” katanya. – WILAYAHKU